Nurul Izzah letak jawatan ahli PAC

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar dilaporkan telah meletakkan jawatan sebagai seorang daripada ahli dalam Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Memetik laporan portal berita Malaysiakini, Nurul Izzah dikatakan membuat keputusan berkenaan disebabkan tidak berpuas hati dengan pemilihan kepemimpinan PAC.

Hal ini berlaku selepas Pengerusi PAC, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee meninggalkan UMNO dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Malaysiakini difahamkan ahli Parlimen dari PKR itu telah mengemukakan peletakan jawatannya kepada Ronald, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof dan Ketua Whip kerajaan, Datuk Johari Abdul,” kata laporan tersebut hari ini.

Pakatan Harapan (PH) sebelum ini berjanji supaya Pengerusi PAC akan dipilih dalam kalangan pemimpin parti pembangkang.

Namun begitu, Dr. Mahathir memberitahu Ronald kekal sebagai Pengerusi PAC walaupun telah menyertai PPBM kerana walaupun jawatan tersebut diperuntukkan untuk diisi oleh Ahli Parlimen pembangkang tetapi ia adalah perkara dasar oleh kerajaan dan ‘ia bukan sesuatu yang diinstitusikan atau sebahagian daripada perlembagaan’

Perkara tersebut menyaksikan kedua-dua jawatan tertinggi dalam PAC dipegang wakil kerajaan buat kali pertama sejak 2004 selepas Timbalan Pengerusi jawatankuasa itu turut dipegang Ahli Parlimen Ipoh Timur dari DAP, Wong Kah Woh.

Nurul Izzah dalam akaun Twitter miliknya minggu lalu meluahkan rasa ketidakpuasan hatinya berhubung jawatan Pengerusi PAC dan berharap jawatan tersebut diisi Ahli Parlimen pembangkang.

“Pengerusi PAC mesti diisi oleh pembangkang bagi memastikan kebertanggungjawaban pihak eksekutif.

“Yang Dipertua Dewan Rakyat sekarang jelas memiliki niat untuk melakukan pembaharuan institusi untuk memastikan Parlimen berada pada kedudukan sama dengan eksekutif. Saya akan mengingatkan beliau untuk turut melakukan perkara sama terhadap PAC,” ujar beliau. – UTUSAN ONLINE

You might like

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *