Nur Sajat mengaku tidak bersalah berpakaian wanita

SHAH ALAM – Usahawan kosmetik sensasi, Nur Sajat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah di sini atas pertuduhan berpakaian menyerupai wanita sehingga menyebabkan agama Islam dipandang hina.

Menurut sumber, Nur Sajat atau nama sebenarnya Muhammad Sajjad Kamaruzzaman, 36, membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Syarie Mohammad Khalid Shaee@Shaii pada 6 Januari lalu.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Sajjad didakwa telah menyebabkan agama Islam dipandang hina dengan caranya adalah seorang lelaki yang menyerupai wanita di dalam majlis bacaan Yasin dan solat hajat.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di dalam premis Nursajat Beauticion, Alam Avenue 2, Jalan Serai Wangi G16/G, Seksyen 16 Shah Alam pukul 7.30 malam pada 23 Februari 2018.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 10(a) Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 yang jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding itu pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Syarie Selangor Atras Mohd. Zain.

Mahkamah kemudian membenarkan Muhammad Sajjad dikat jamin RM3,000 dan menetapkan 23 Februari ini bagi sebutan semula kes.

Pada 12 Januari lalu, Kosmo! Online melaporkan usahawan tersebut memuat naik satu video seperti memberi bayangan ingin meninggalkan agama Islam selepas mendakwa kerja-kerja amal kebajikannya tidak dipersetujui segelintir pihak.

Bukan itu sahaja, Sajat mendedahkan, dia sudah menjalani pembedahan penukaran jantina.

Nama Sajat kembali menjadi bahan bualan netizen selepas dia mendakwa, dirinya ditahan reman oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kerana mengadakan majlis doa selamat dan bacaan yassin di pejabatnya di Shah Alam.

Menurut Sajat dia ditahan pada tanggal 6 Januari lalu di Pusat Tahanan Sementara (PTS) di Kuala Kubu Bharu dan dia telah dilayan tidak wajar walaupun datang bertujuan memberi keterangan dan kerjasama pada pihak JAIS.

Difahamkan, Sajat ditahan selepas mengadakan majlis doa selamat untuk anak-anak tahfiz pada tarikh 23 Februari 2018 sebelum segelintir pihak mengambil tindakan membuat laporan kepada JAIS yang tidak bersetuju dirinya berpakaian seperti seorang wanita yang dilihat seperti mempermainkan agama. – K! ONLINE

Loading...
Published
Categorized as Utama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *