Portal berita terbaik anda

Utama

‘Doktor cakap jangka hayatnya cuma setahun’ – Ibu ratu netizen doakan Nur Arissa

BATU GAJAH – Pada usia 13 bulan, Nur Arissa Mohamed Idris sudah diuji dengan penyakit Hydrocephalus atau lebihan cecair dalam otak yang menyebabkan kepalanya besar dan menderita barah, Germ Cell Tumor.

Keadaan itu menyebabkan Nur Arissa hanya terbaring dan tidak dapat bergerak aktif seperti bayi seusianya.

Menurut Suhaini Mohd Yusof, 37, kepala anaknya mula membesar ketika berusia tiga bulan manakala, barah dikesan sebaik dilahirkan.

Suri rumah dari Taman Perumahan Awam Bemban di sini, berkata, Nur Arissa juga sudah dua kali menjalani pembedahan membuang lebihan cecair yang bertakung iaitu pada 16 April 2020 yang turut berlangsung kemoterapi pertamanya dan pada 18 Jun lalu.

Namun, Suhaini berkata, keadaan Nur Arissa tidak berubah dan kepalanya masih membesar serta perlu menjalani pemeriksaan susulan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh bagi tiga bulan sekali.

“Sebelum melahirkan Nur Arissa, doktor ada beritahu saya kemungkinan kepalanya akan membesar disebabkan penyakit itu dan menjangkakan hayatnya setakat umur setahun saja.

“Sebagai ibu, agak sukar untuk saya terima pada mulanya dan yang lebih menyedihkan apabila Nur Arissa disahkan pula menghidap barah hasil ujian Imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) selepas dilahirkan.

“Bagaimanapun, saya dan suami (Mohamed Idris Ibrahim, 50) cuba reda dengan ketentuan itu meskipun tidak sanggup melihat Nur Arissa menderita ketika masih kecil,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Sebalik derita itu, Suhaini berkata, menguruskan Nur Arissa sangat mudah kerana anak itu tidak banyak ragam dan senang dijaga.

“Setakat ini, saya senang menjaganya sendiri dan jika kembung perut atau sakit sekalipun, Nur Arissa hanya memberi isyarat seperti meneran.

“Alhamdulillah, anak sulung saya (Nur Fatiyah, 3) amat sayangkan Nur Arissa dan tidak pernah berkasar malah sentiasa menemani adiknya dengan baring di sebelah untuk bermain bersama,” katanya.

Menurutnya, Nur Arissa menerima bantuan bulanan RM500 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang diluluskan mulai bulan ini, selain sumbangan orang ramai yang prihatin apabila mengetahui kisah anak itu.

Katanya, anak istimewanya itu ada rezeki buat mereka sekeluarga dan dia berharap Nur Arissa akan sembuh satu hari nanti serta tidak akan berhenti berikhtiar.

“Bagi kami, anak yang sakit bukan beban tetapi anugerah Allah berikan, jadi saya akan terus menjaga Nur Arissa dengan sabar selagi termampu kerana yakin ada hikmah di sebalik semua ini,” katanya.

Orang ramai yang berhasrat membantu boleh menghulurkan sumbangan ke akaun CIMB 12210067041529 atas nama Mohamed Idris Ibrahim atau menghubungi Suhaini di talian 013-683 4956.

Loading...

Leave a Reply