Cempedak Cheese

Portal berita terbaik anda

Politik

Nizar yakin pengundi 18 tahun tidak akan pilih UMNO-Pas

UMNO Perak menyuarakan keyakinan untuk rampas semula 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) milik Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Antara kerusi yang disebut akan dirampas semula termasuk Titi Serong, Kuala Kurau, Kamunting, Hulu Kinta, Manjoi, Behrang, Chenderiang, Sungai Rapat, Pasir Panjang dan Tebing Tinggi.

Namun, ADUN Sungai Rapat, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menyifatkan keyakinan itu sebagai andaian syok sendiri.

Sebaliknya ahli politik Parti Amanah Negara (PAN) itu yang menyuarakan keyakinan bahawa pengundi muda tidak akan memilih UMNO-PAS apabila berlaku pertambahan pengundi belia berumur 18 tahun ke atas pada PRU15.

“Keyakinan diluahkan mereka atas congakan pencampuran undi diterima kedua-dua parti itu pada PRU14, sedangkan UMNO dan Pas perlu sedar pertambahan pengundi belia berumur 18 tahun ke atas pada PRU15 akan menjadi penentu utama kemenangan.

“Pengundi belia berusia 18 tahun pada PRU15 sudah pasti berusia lingkungan 15 dan 16 tahun ketika ini dan terdapat tinjauan dibuat ke atas mereka baru-baru ini menunjukkan mereka sebenarnya langsung tidak memihak kepada penyatuan UMNO dan Pas,” katanya menurut Sinar Online.

Mohammad Nizar juga menyifatkan dakwaan Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad menyatakan akan merampas kembali Perak dengan majoriti dua pertiga sebagai tidak berpijak di bumi nyata.

Katanya, ketidakpercayaan golongan pengundi belia terhadap keikhlasan penyatuan dua parti pembangkang itu dijangka memberi kelebihan kepada PH Perak untuk terus mengekalkan pentadbiran kerajaan pada PRU15.

“Golongan pengundi belia sebenarnya tidak percaya penyatuan UMNO dan Pas bersifat kekal,” katanya. – 5 Ogos 2019.

Leave a Reply

Theme by Anders Norén