Nik Ezanee dilantik sebagai Ketua JSJ Selangor yang baharu

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal dilantik menjadi Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor yang baharu.

Beliau yang menggantikan SAC Datuk Fadzil Ahmat akan memangku pangkat Senior Asisten Komisioner.

Perkara itu dimaklumkan wartawan MalaysiaGazette, Syahril A. Kadir menerusi Facebook beliau hari ini.

“Tahniah Nik Ezanee, naik pangkat Senior Asisten Komisioner (satu bintang) sekaligus menyandang jawatan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor yang baharu.

“Terima kasih kerana menjaga Petaling Jaya dengan begitu baik sekali.

“Terima kasih kerana membuatkan taukeh-taukeh judi bertempiaran, taukeh dadah susah cari makan, kedai game hilang tanpa dikesan.

“Teruskan berpuasa sunat setiap Isnin dan Khamis, teruskan amalan bersolat Subuh di pejabat seperti yang Tuan amalkan selama ini. Salute…raincheck!,” tulisnya.

Sementara itu, Nik Ezanee berkata, beliau hanya dimaklumkan mengenai pelantikan itu secara rasmi hari ini.

“Cuma ketika ini saya masih menunggu arahan rasmi dari Pemangku Ketua Polis Selangor, Deputi Komisioner Datuk Arjunaidi Mohamed untuk melapor diri dalam tugas baharu selepas ini.

“Saya faham ini satu tugas yang sangat mencabar tapi saya yakin mampu menggalas amanat yang diberikan itu dengan penuh bertanggungjawab dan telus untuk terus menegakkan keadilan dan menjamin ketenteraman awam di negeri ini,” katanya.

Nik Ezanee dilantik memegang jawatan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya pada 16 Februari 2020 bagi menggantikan Senior Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din.

Sebelum itu, beliau adalah Asisten Komisioner Perhubungan Antarabangsa Urus Setia KPN (Pentadbiran) di Bukit Aman.

Loading...

Leave a Reply