NGO bimbang Kelantan bakal jadi negeri pil kuda

KUALA LUMPUR: Ini senario yang tidak boleh dinafikan.

Ini kemungkinan yang berlaku dalam tempoh beberapa tahun, kalau masalah kecanduan pil kuda di Kelantan tidak diperangi sehabisnya.

Imej negeri serambi Mekah itu tidak mustahil lesap, gara-gara digantikan dengan imej Kelantan sebagai lubuk pil kuda.

Hakikat ini perlu diterima.

Akui masalah itu, dan cari penyelesaian segera, sama ada jangka pendek atau panjang.

“Realitinya, tidak ada satu pun kampung di Kelantan, bebas daripada gejala pil kuda,” dedah Presiden Persatuan Kelab-kelab Belia Malaysia (MAYC), Mohd Syahbuddin Hashim dalam satu temuramah eksklusif dengan Astro AWANI.

Tegas Mohd Syahbuddin, masalah ketagihan pil kuda terus jadi barah dalam masyarakat, namun hakikatnya ia masalah yang diketahui umum.

“Kita laung kata dadah musuh nombor satu negara, tapi malangnya kaedah tanganinya tidak nombor satu,” luah kebimbangan beliau.

Kedudukan geografi bersempadan dengan Thailand menyebabkan akses kepada bukan sahaja pil kuda, tetapi pelbagai dadah jenis sintetik yang lain terlampau mudah.

Pil kuda diperoleh dengan harga serendah RM2.50 dan dijual di pasaran pada harga RM10 sebiji.

Mohd Syahbuddin juga terang-terangan mendedahkan sebahagian besar pil kuda tidak melalui jalan-jalan tikus, sebaliknya masuk ikut jalan yang sah.

“Kita tidak mahu main bangau oh bangau dalam hal ini, tuding jari sana sini, tuduh pihak penguatkuasaan tidak cukup kuat kuasa undang-undang di sempadan hingga menyebabkan ketirisan ini,

“Semua pihak kena main peranan, di Kelantan ini saya lihat usahanya takat cukup makan, cuba tengok, tiada satu pun papan tanda besar tunjukkan apa rupa pil WY (pil kuda), bahayanya dadah itu,” kata Mohd Syahbuddin.

Kerana itu Mohd Syahbuddin tidak menafikan, kalau setakat apa yang ada ketika ini, tidak mustahil dalam tempoh beberapa ketika, akan wujud situasi satu keluarga ada satu penagih pil kuda.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *