Ngeri! 4 jari putus tersepit mesin tebu

0
5413


RANTAU PANJANG: Seorang peniaga air menerima nasib malang apabila kehilangan empat jari akibat tersepit mesin tebu, hari ini.

Hussin Abdullah, 55, yang berniaga di Bazar Ramadan berdekatan Masjid Beijing, di sini, secara tiba-tiba jari tangan sebelah kiri tersepit dalam mesin tebu miliknya pada jam 3.35 petang tadi.

Ketua Balai Bomba Rantau Panjang, Mohd Adni Ibrahim, berkata pihaknya menerima panggilan telefon dan sampai ke tempat kejadian tiga minit kemudian.

Katanya, sebaik sampai ke lokasi, mangsa sudah dibawa oleh orang awam ke Klinik Kesihatan Rantau Panjang sebelum dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) I, Kota Bharu.

“Mengikut saksi, ketika dibantu orang awam, mangsa dalam keadaan yang lemah dan separuh sedar.

“Pasukan bomba bertindak mengeluarkan jari mangsa yang terputus daripada mesin itu dan serahkan kepada pihak keluarga mangsa.

“Melihat kepada jari terbabit, mangsa terputus empat daripada lima jarinya selain terdapat banyak darah pada mesin tebu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mangsa yang berasal dari Kampung Tasek, di sini, dikatakan menjual air tebu setiap kali Ramadan di Bazar terbabit.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here