Portal berita terbaik anda

Politik

Nga Kor Ming beri amaran, PH jangan ambil hati orang Melayu sahaja

PERAK 23-03-2018. Perak DAP chairman Nga Kor Ming said Keranji assemblyman Chen Fook Chye, 58, and Jelapang assemblyman Teh Hock Ke, 68, will not seek reelection. MALAY MAIL/Farhan Najib

IPOH – Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Nga Kor Ming berkata, perkara paling penting buat Pakatan Harapan pada masa ini ialah menunaikan semua manifesto pilihan raya supaya rakyat dapat merasakan keikhlasan kerajaan.

Keadaan itu, kata Kor Ming, juga akan membawa sokongan rakyat tanpa mengira kaum kepada Pakatan Harapan.

Menurut Ketua DAP Perak itu, Pakatan Harapan tidak harus bertindak sengaja dalam menambat hati kaum Melayu sehingga menyebabkan ia kehilangan undi Cina.

“Kerajaan pimpinan Pakatan Harapan harus mempunyai skop lebih luas, kami tidak boleh kembali kepada mentaliti bahawa satu kaum akan berasa tidak senang jika kaum satu lagi menerima lebih banyak peruntukan. ‘Zero-sum game’ seperti ini adalah tidak baik kepada negara.

“Apa yang Pakatan Harapan harus lakukan ialah membentuk kaum Malaysia yang tidak membeza-beza mengikut kaum,” katanya dalam wawancara bersama Sinchew Daily.

Beliau berkata demikian apabila ditanya tentang keadaan Pakatan Harapan yang dilihat gagal menambah sokongan Melayu sementara terdapat petanda kecewa dalam kalangan Cina.

Kor Ming berkata, hala tuju Pakatan Harapan harus tertuju kepada melaksanakan manifesto pilihan raya walaupun ia sukar ditunaikan.

“Kutipan tol tidak boleh dihapuskan serta-merta kerana terdapat kontrak antara kerajaan dan syarikat konsesi yang menyebabkan kerajaan perlu membayar ganti rugi.

“Kerajaan bagaimanapun boleh melaksanakannya secara berperingkat, ini termasuk menetapkan jadual pelaksanaan dan menetapkan sasaran yang jelas tol mana yang akan dihapuskan dalam lima tahun,” katanya.

Mengenai Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), beliau berkata, jawatankuasa khas telah ditubuh untuk mengendali isu itu dan laporan akan dikemukakan pada tahun ini.

“Ini untuk menunjukkan kepada orang ramai bahawa kerajaan sedang melakukan sesuatu.

“Saya percaya kebanyakan orang dalam masyarakat ini adalah orang yang munasabah dan mereka akan memberi sokongan jika merasakan keikhlasan kerajaan,” katanya.

Mengenai kritikan bahawa DAP sudah menjadi ‘parti diam-diam’ kerana menutup mulut dalam beberapa isu, Kor Ming berkata, parti itu harus mempunyai gaya sebagai parti pemerintah dan menyelesaikan isu menggunakan saluran dalaman.

“Kami boleh berkomunikasi dengan Perdana Menteri dan menteri, bukannya membangkitkan sesuatu isu melalui media.

” Kami tidak berdiam diri, tetapi DAP telah membangkitkan pelbagai isu secara dalaman sejak sembilan bulan lalu,” katanya.

Kor Ming pada masa yang sama melahirkan rasa kecewanya berkenaan “fenomena Najib” dalam dunia Internet yang dilihatnya sebagai satu “tanda sakit” masyarakat.

“Beliau (Datuk Seri Najib Tun Razak) sedang memberi mesej yang salah kepada masyarakat. Tindakan seperti ini harus dikutuk,” katanya. – MalaysiaGazette

Loading...

Leave a Reply