Nak pohon BSH kena 5 sijil sahih, nak jadi menteri 1 sijil palsu dah cukup – Najib

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyindir kerajaan Pakatan Harapan (PH) tentang kesukaran dialami rakyat mendapatkan skim Bantuan Sara Hidup (BSH) apabila perlu menyediakan lima sijil diperakui kesahihannya.

Beliau yang kini semakin popular dalam kalangan warganet sebagai sebagai `Raja Troll’ mendakwa, namun perkara sebalik berlaku jika mahu menjadi menteri kerana hanya sijil palsu diperlukan.

“Nak pohon BSH, rakyat kena bagi lima sijil sahih. Nak jadi Menteri, satu sijil palsu dah cukup. #MalaysiaBaru,” katanya menerusi hantaran dalam akaun Facebook beliau hari ini.

Isu kelayakan akademik tercetus apabila Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya didakwa memiliki ijazah daripada Universiti Cambridge, United Kingdom, namun kemudian memaklumkan sebenarnya hanya mempunyai Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan daripada Cambridge International University (CIU), Amerika Syarikat yang diragui banyak pihak.

Sebelum ini, Najib turut mengkritik proses mendapatkan BSH yang disifatkan beliau sebagai merumitkan rakyat.

Ujarnya, kerajaan PH seolah-olah tidak ikhlas untuk memberi bantuan tersebut berikutan pelbagai proses yang perlu dilakukan untuk mendapatkan BSH.

“Macam-macam proses dan dokumen diperlukan kini. Ramai yang marah, semakin menyusahkan orang kerajaan PH ini.

“Seolah-olah tidak ikhlas untuk beri, tidak galakkan orang mohon,” katanya. – UTUSAN ONLINE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here