Najib, Zahid, Azeez dan Nazri ‘haram’ sertai PPBM – Mukhriz

0
142

ALOR SETAR – Pemimpin Umno yang ingin menyertai PPBM akan disaring terlebih dahulu bagi memastikan mereka ‘bersih’ dan mampu mendukung budaya politik baharu PH.

Timbalan Presidennya Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir, berkata walaupun PPBM telah menyatakan kesediaan untuk menerima sesiapa sahaja yang berminat menyertai parti itu termasuk anggota dan pemimpin Umno, namun perlu memenuhi syarat-syarat tertentu.

“Ya, ia akan mengukuhkan parti di mana sekarang ni pun kita (PPBM) sudah ada 14 wakil dalam Parlimen dan (Pengerusi PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad pun menyatakan kesediaan untuk menerima siapa sahaja yang berminat untuk menyertai PPBM tetapi kenalah memenuhi syarat-syarat tertentu.

“Maknanya kita tidaklah terlalu terbuka hinggakan Ahli Parlimen Pekan (Datuk Seri Najib Tun Razak), Bagan Datuk (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi), Baling (Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim), Padang Rengas (Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz), saya ingat dalam senarai ini tak akan kami pertimbangkan, jadi yang lain-lain jika berminat kami alu-alukan,” katanya.

Mukhriz yang juga menteri besar Kedah berkata demikian kepada pemberita pada majlis penyerahan jersi Pasukan Bola Sepak Wanita Kedah bersempena Kejohanan Piala Tun Sharifah Rodziah 2018 di sini, hari ini.

Sabtu lepas, Anggota Majlis Tertinggi PPBM Datuk AKadir Jasin mendakwa kira-kira 40 ahli Parlimen dari Umno dikatakan berkemungkinan akan meninggalkan parti itu dan menyertai PPBM.

Dalam pada itu, Mukhriz menyokong penuh penyertaan Anggota Parlimen Jeli Datuk Seri Mustapa Mohamed yang juga bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri menyertai PPBM selepas keluar dari UMNO pada 18 Sept lepas.

“Datuk Mustapa Mohamed sebagai contoh tokoh pemimpin yang terkenal, berwibawa, profesional dan saya sendiri pun pernah berkhidmat di bawah beliau sebagai timbalannya dan saya tahu dia dan sebab itu bila kami (pemimpin PPBM) berbincang dan tanpa memikir panjang kami menerima dia menjadi ahli,” katanya.

Berhubung kejohanan bola sepak wanita itu yang bermula pada 3 Nov ini di Gambang, Pahang, beliau berharap pasukan negeri dapat membawa pulang piala kejohanan setelah meraih tempat ketiga dan kedua pada pertandingan 2016 dan 2017 sebelum ini.

“Kita yakin dengan pemain kita, kerana kita juga dibarisi lima pemain kebangsaan yang ini menunjukkan mereka berada di prestasi tertinggi, disokong pula anggota pasukan yang bermain sebagai satu pasukan,” katanya. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here