Portal berita terbaik anda

Politik

Najib tak tahu bilion ringgit duit 1MDB dalam akaunnya

LANGKAWI: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau tidak sepatutnya dipersalahkan terhadap skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang membabitkan berbilion dolar, sebaliknya mendakwa tidak mengetahui apa-apa mengenai wang daripada dana itu yang muncul dalam akaun peribadinya.

Beliau juga mempunyai penjelasan mengenai sejumlah wang tunai, beg tangan mewah dan barang kemas yang dirampas dari rumahnya oleh pihak berkuasa baru-baru ini.

Bagaimanapun, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Selasa lalu memberitahu Reuters, pihak berkuasa mempunyai ‘kes yang hampir sempurna’ terhadap Najib atas tuduhan penggelapan, penyelewengan dan rasuah yang dikaitkan dengan 1MDB.

Najib yang (partinya) tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu selepas satu dekad berkuasa kerana skandal 1MDB, digambarkan Peguam Negara Amerika Syarikat (AS) Jeff Sessions sebagai ‘kleptokrasi paling buruk’.

Beliau dalam beberapa komennya mengenai skandal 1MDB berkata, tidak tahu jika beratus-ratus juta dolar yang bergerak melalui akaun peribadinya adalah daripada 1MDB dan sama ada wang daripada dana itu akhirnya dicuci untuk memperoleh aset secara global termasuk kapal layar, lukisan, permata dan hartanah mewah.

“Saya tidak berpesta dengan kapal layar, lukisan…Saya tidak pernah melihat lukisan itu.

“Saya tidak menyedari pembelian ini. Ia dilakukan tanpa pengetahuan saya. Saya tidak akan membenarkan dana 1MDB digunakan untuk mana-mana perkara ini.

“Saya sudah lama berkhidmat dalam kerajaan, saya tahu apa yang betul dan apa yang salah,” kata Najib dalam wawancara yang diadakan di sebuah vila mewah menghadap laut di sebuah hotel lima bintang di sini.

Najib mendakwa lembaga pengarah 1MDB mempunyai tanggungjawab memberitahunya jika ada sebarang perkara yang salah.

Santai dengan kemeja hitam dan seluar berwarna coklat, Najib berkata, beliau bermain golf, menikmati makanan dan meluangkan masa bersama keluarganya.

Keluarga itu menempah vila berkenaan untuk meraikan hari raya bersama-sama.

Anak Najib termasuk anak tirinya Riza Aziz, yang juga seorang produser filem Hollywood, ada bersama dengannya minggu ini, pembantunya memberitahu Reuters. – Reuters

Loading...

Leave a Reply