Najib bertegas RM2.6 bilion ‘dana luar jangka’ dari raja Arab Saudi

0
91

Datuk Seri Najib Razak hari ini menegaskan wang berjumlah AS$681 juta – atau RM2.6 bilion – dalam akaun peribadinya adalah daripada Almarhum Raja Arab Saudi, Raja Abdullah, dan bukannya bersumberkan 1MDB.

Beliau berkata wang tersebut dipohonnya sebagai “dana luar jangka” atas tanggungjawabnya untuk mencari dan menguruskan dana Umno selaku presiden parti itu.

Katanya, beliau memohon bantuan itu bagi berdepan risiko pembangkang ketika itu membeli anggota parlimen BN pada PRU ke-13, seperti percubaan gagal “16 September 2008”.

“Saya menerima laporan bahawa setelah mentadbir Selangor dan Pulau Pinang sejak PRU ke-12, Pakatan sudah mengumpul dana yang besar dari sumber dalam dan luar negara.

“Oleh itu, saya bimbang bahawa peristiwa “916” (16 September 2008) besar kemungkinan akan berulang pada PRU13,” katanya dalam satu hantaran panjang di Facebook, hari ini.

Justeru, katanya, beliau telah memohon bantuan Raja Abdullah pada awal 2013 dan beliau setuju.

Katanya, menerusi surat wakil Almarhum, Putera Abdulaziz Al-Saud, bantuan tersebut akan disalurkan secara berperingkat sama ada daripada akaun bank Raja Abdullah atau sumber-sumber lain, termasuk Tanore Finance Corporation.

“Mengikut dakwaan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) dan Wall Street Journal, wang daripada Tanore adalah dari 1MDB.

“Tetapi (menurut) Putera Abdulaziz inilah yang selama ini mewakili Raja Abdullah bagi menyalurkan dana kepada akaun saya, termasuk pada tahun 2011 dan 2012.

“Pada masa itu tiada sebab untuk saya atau bank menyoal atau menyelidik sangat mendalam bagi mengenal pasti sumbernya, apatah lagi wang itu diiringi surat wakil Raja Abdullah,” katanya lagi.

Transaksi daripada Tanore – atau Fasa Tanore – dilaporkan berlaku antara Mac hingga April 2013. DOJ mendakwa sumber dana Tanore daripada bon ketiga 1MDB yang diraih pada 2013 yang dikatakan untuk satu usaha sama dengan Abu Dhabi Malaysia Investment Company (ADMIC).

Menurut DOJ, Tanore secara benifisiari dimiliki Eric Tan Kim Long, dipercayai rakan kepada ahli perniagaan Low Taek Jho, lebih dikenali sebagai Jho Low. Low dipercayai menggunakan nama Tan sebagai aliasnya.

Kata Najib lagi, beliau memilih untuk memohon bantuan Arab Saudi kerana enggan meminta bantuan taikun tempatan “sebagaimana dilakukan perdana menteri keempat”.

“Jika berbuat demikian maka mereka akan meminta balasan projek yang bernilai jauh lebih tinggi. Saya tidak bersetuju dengan amalan kronisme,” katanya.

Beliau berkata sekian lama tidak mendedahkan sumber wang itu dan tujuannya – walaupun ia menjadi senjata pembangkang ketika itu – sebagai menghormati permintaan Raja Abdullah agar ia dirahsiakan.

“(Selain itu) Patutkah saya sebagai perdana menteri ketika itu dedahkan kepada seluruh dunia bahawa ada aktiviti membeli ahli parlimen dalam demokrasi Malaysia?” katanya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here