Portal berita terbaik anda

Politik

Najib dedah hubungan dengan Jho Low

SHAH ALAM – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mendedahkan hubungannya dengan ahli perniagaan kontroversi, Low Taek Jho atau Jho Low dalam isu 1MDB.

Beliau berkata, hubungannya dengan Jho Low hanyalah atas dasar profesional semata-mata untuk meningkatkan kerjasama ekonomi dan hubungan diplomatik Malaysia dengan Timur Tengah memandangkan ahli perniagaan itu mempunyai hubungan baik dengan negara berkenaan.

Katanya, Jho Low sebelum ini pernah dilantik sebagai konsultan di Terengganu Investment Authority (TIA).

“Sebelum 1MDB, dia ada hubungan yang rapat dengan negara-negara di Timur Tengah terutama sekali dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi dan dia berjaya membawa pelaburan dengan kerjasama pihak-pihak tertentu, misalnya pihak-pihak di dalam RHB Bank, Abu Dhabi Commercial Bank, ada beberapa syarikat yang dia berjaya.

“Maknanya dia ada ‘track record’ hubungannya dengan UAE dan Arab Saudi. Saya melihat dia dari sudut itu,” katanya dalam Sinar Live Eksklusif bersama Datuk Seri Najib Tun Razak di Sinar Harian, di sini, hari ini.

Najib berkata, hubungan baik Jho Low dengan negara Timur Tengah itu dilihat boleh meningkatkan kerjasama ekonomi dan diplomatik dengan kedua-dua negara.

Namun katanya, beliau tidak tahu berkaitan perkara yang dilakukan Jho Low secara peribadi.

“Apa yang dia lakukan secara peribadi, saya tak tahu, saya tahu kemudian sahaja. Kalau dikatakan dia ada kapal terbang, berparti semua, saya tidak terlibat.

“Malah saya tak tahu langsung dengan apa yang dilakukan seperti mana hari ini kita tahu. Jadi saya nak katakan bahawa hubungan saya dengan beliau adalah hubungan profesional sebab saya lihat dia boleh membawa nilai kepada pelaburan daripada Timur Tengah ke Malaysia, hubungan ekonomi dan diplomatik,” katanya.

Bagaimanapun, Najib berkata, jika benar Jho Low ada buat kesalahan atau pecah amanah, tindakan undang-undang perlu diambil.

“Tapi kalau dia buat kesalahan dan melakukan pecah amanah, itu dia melakukan sesuatu yang bertentangan dengan undang-undang. Jadi tindakan perlu diambil mesti ambil terhadapnya,” katanya.

Loading...

Leave a Reply