Nahas Lion Air: Bangkai utama pesawat ditemui

0
720

PASUKAN penyelam Indonesia menjumpai bangkai badan utama pesawat Lion Air yang terhempas di Laut Jawa, dalam operasi mencari mangsa dan kotak hitam sejak hampir seminggu.

Penyelam melakukan pencarian di kawasan seluas 700 kilometer persegi sejak pesawat itu terhempas pada 29 Oktober lalu, mengesan fiuslaj atau badan pesawat Boeing 737 Max 8 pada Sabtu.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Ketua Agensi Mencari dan Menyelamat Kebangsaan, M. Syaugi kepada pemberita di Jakarta, pada Sabtu.

Beliau berkata, kru kini menumpukan usaha untuk mendapatkan bangkai pesawat tersebut.

“Kita telah menemui dua turbin, satu roda,” kata Syaugi.

“Terdapat laporan daripada anggota pasukan melihat badan pesawat,” tambahnya.

Pasukan operasi mencari menemui perakam data penerbangan, kedua-dua enjin, sebahagian gear pendaratan, cebisan mayat mangsa dan barangan peribadi sejak pesawat Lion Air penerbangan JT610 yang membawa 189 orang terhempas ke laut.

Syaugi berkata, pengesan ‘ping’ turut menunjukkan isyarat yang lemah kemungkinan dari perakam perakam suara kokpit.

Dalam pada itu, beliau berkata, seorang penyelam yang melakukan kerja-kerja sukarelawan dalam operasi mencari itu, meninggal dunia pada Jumaat. – Bloomberg

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here