Myanmar sepatutnya contohi cara Malaysia layan orang keturunan asing

Myanmar sepatutnya mencontohi Malaysia yang menerima orang asing apabila ia mencapai kemerdekaan 61 tahun lepas, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Rohingya perlu dilayan sebagai rakyatnya,” kata beliau pada sidang akhbar selepas menghadiri Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan ASEAN 2018, yang diadakan bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-3 di Singapura pada hari Selasa.

Dr Mahathir berkata demikian apabila ditanya apakah yang perlu dilakukan ASEAN yang dianggotai 10 negara itu bagi membantu masyarakat Rohingya.

“Cuba anda lihat, ketika Malaysia mencapai kemerdekaan pada 1957, kami mempunyai orang berketurunan asing. Kami terima kesemua mereka. Kini mereka menjadi warganegara. Mereka memainkan peranan dalam politik negara kami.

“Mereka hidup dengan bebas. Mereka tidak ditahan. Mereka tidak ditahan kerana bangsa atau sebagainya. Mereka mungkin ditahan kerana melakukan perkara yang salah, tetapi bukan kerana perbezaan kaum,” katanya.

Dr Mahathir, 93, yang merupakan ketua kerajaan paling berusia pada sidang kemuncak berkenaan, berkata ASEAN mahu isu Rohingya diselesaikan dan masyarakat itu kembali menjadi sebahagian daripada Myanmar.

Ditanya penilaian beliau tentang cara Myanmar menangani isu Rohingya, terutama oleh pemimpin negara itu, Aung San Suu Kyi, Dr Mahathir berkata : “Kami amat kecewa kerana seseorang yang pernah ditahan sepatutnya tahu tentang erti penderitaan. Nampaknya Aung San Suu Kyi cuba mempertahankan apa yang tidak boleh dipertahankan.

“Mereka sebenarnya menindas orang ini hingga ke peringkat membunuh mereka…membunuh secara beramai-ramai…dikuburkan di dalam lubang yang mereka gali sendiri…perbuatan seperti itu mungkin relevan pada zaman kuno, tetapi tidak pada zaman moden ini,” kata Dr Mahathir.

Kini, lebih 100,000 pelarian Rohingya berada di Malaysia tetapi bukan kesemua mereka berdaftar dengan Pesuruhjaya Tinggi Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNCHR).

Menurut laporan, kira-kira 700,000 anggota masyarakat Islam minoriti Rohingya melarikan diri ke Bangladesh sejak Ogos lepas berikutan tindakan keras tentera Myanmar yang disifatkan Pertubuhan Bangsa Bersatu sebagai “pembersihan etnik”.

– Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *