Cempedak Cheese

Portal berita terbaik anda

Nahas & Bencana

Murid Tahun 4 maut, baju hujan tersangkut di motosikal

JERTIH: Seorang murid Tahun Empat maut selepas lehernya terjerut baju hujan dipakai yang tersangkut pada gegancu rantai belakang motosikal diboncengnya.

Tuan Nur Irdina Najwa Tuan Rosli, 10, yang ketika itu membonceng motosikal Honda RS150R ditunggang ibu saudaranya maut di tempat kejadian dalam kemalangan di Kampung Gong Tanah Merah pada jam 10.15 pagi.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad, berkata sebelum kejadian mangsa menemani ibu saudaranya berusia 31 tahun untuk ke satu majlis dan mereka dalam perjalanan ke Kampung Darau dari arah Kampung Gong Nering, di sini.

“Sebaik sampai di lokasi kejadian, tiba-tiba baju hujan dipakai mangsa tersangkut pada bahagian ‘sprocket’ belakang motosikal menyebabkan mangsa jatuh ke atas jalan.

“Baju hujan dipakai kemudian menjerut leher mangsa yang kemudian disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala penunggang motosikal itu tidak cedera,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Besut untuk tindakan lanjut dan hasil bedah siasat mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat cedera parah di leher.

Sementara itu, Haminah Awang Ahmad, 67, nenek Tuan Nur Irdina yang dipanggil sebagai Wawa di kalangan ahli keluarga berkata, anak sulung daripada tiga beradik itu yang menetap bersama keluarganya di Jeli, Kelantan, baru pulang ke kampung sempena cuti persekolahan.

“Ketika kejadian saya tiada di rumah kerana mengikut ibu arwah menyelesaikan urusan keluarga di Kampung Raja.

“Tidak sangka pula kecelakaan menimpa. Apa pun kami reda. Wawa anak yang sangat baik, sangat rajin solat. Malam tadi dia mahu tidur bersama makciknya, tetapi saya pujuk tidur bersama saya dan pagi dia bangun awal solat Subuh.

“Malam kelmarin dia ikut saya solat tahajud. Wawa anak yang mudah mendengar nasihat dan sangat menjaga solat sejak berusia tujuh tahun.

“Saya sering hadiahkan telekung padanya supaya dia rajin dan bersemangat solat,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gong Tanah Merah, di sini, semalam.

Haminah berkata, setiap kali Wawa balik ke kampung sepupu sebayanya juga akan rajin mengikutnya menunaikan solat.

“Kehilangan arwah amat dirasai kerana dia seorang yang ceria, banyak cakap dan rapat dengan semua adik beradik, sepupu dan saudara mara,” katanya.

Jenazah Wawa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kayu Kelat di sini, hari ini.

Loading...

Leave a Reply

Theme by Anders Norén