Portal berita terbaik anda

Viral

‘Mungkin hari ini last mak menulis’ – Pesanan akhir ibu hidap kanser buat netizen sebak

BERAT mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Begitulah penderitaan yang ditanggung ibu kepada lima orang anak yang disahkan menghidap kanser lidah tahap 4 sejak Mei tahun lalu.

Lebih menyedihkan, Rosimah Ismail, 49, kini tidak lagi boleh bercakap kerana lidahnya sudah keras sepenuhnya.

Malah, menurut anak keduanya, Nurul Shafina Mazani, ibunya itu kini juga sudah tidak mampu menulis kerana kedua-dua matanya semakin membengkak dan hampir tertutup.

Dalam satu perkongsian di Facebook, Nurul Shafina atau lebih mesra disapa Fina telah memuat naik beberapa keratan tulisan terakhir ibunya yang meninggalkan pesan kepadanya dan empat adik-beradiknya yang lain.

“Nukilan terakhir mak tulis dalam buku sebelum mata mak keduanya bengkak dan tertutup sepenuhnya. Mak dah tak boleh berkata-kata. Dah tak boleh bersuara lagi. Lidah mak dah mengeras sepenuhnya.

“Kata-kata nasihat dari mak, Fina akan ingat sampai bila-bila. Kami adik beradik akan ingat pesan mak untuk selamanya. Sebak hati bila baca apa yang mak tulis. Nasihat mak untuk kami adik beradik sentiasa terngiang-ngiang dalam ingatan.

“Semoga Allah permudahkan segala urusan mak,” katanya.

Walaupun doktor memberitahu penyakit ibunya sudah sampai peringkat akhir, namun Fina tetap berharap akan ada keajaiban buat ibunya untuk kembali sembuh.

“Mak cepat sihat ya. Fina rindu mak yang dulu, Fina, adik-adik dan abah tak kuat tanpa mak. Kami semua perlukan mak. Mak penyeri rumah. Mak segalanya buat kami,” katanya.

Mengenai penyakit ibunya itu, Fina berkata pada mulanya ibunya hanya mengalami sakit seperti ulser di bahagian lidah sebelum disahkan menghidap kanser pada April tahun lalu.

“Sebelum tu mak ada ulser kat lidah. Tapi lepas makan ubat ok. Lepas tu dua tiga tahun jadi lagi, kiranya kejap ok kejap tak.

“Jadi kami bawa pergi klinik berdekatan. Lepas tu mereka suruh ambil sel (isi) lidah, pergi hantar dekat makmal. Bila check dah ada kanser tu.

“Dalam masa beberapa hari tu doktor suggest buat pembedahan dekat lidah sebab takut sel agresif,” katanya.

Selepas pembedahan untuk membuang separuh daripada lidah yang ada sel kanser, Fina berkata keadaan ibunya nampak baik sebelum kembali sakit kurang sebulan kemudian.

“Selepas pembedahan mak ok boleh makan dan bercakap, boleh dikatakan macam dah sembuh.

“Masa buang separuh lidah tu doktor ambil isi bawah dagu tampal dekat lidah, jadi dia boleh bercakap macam biasa.

“Tapi dekat nak raya tahun lepas doktor suruh buat CT scan dan bila check ada lagi sel kanser tu. Masa tu doktor beritahu kanser mak dah tahap empat,” katanya.

Buat masa ini Fina berkata ibunya sudah tidak lagi meneruskan rawatan kemoterapi dan ditempatkan di wad paliatif di Hospital Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

“Sekarang kanser tu dah merebak dekat leher. Leher dah berlubang… dalam sangat. Dulu sebelah kanan je sekarang dah jadi belah kiri pula.

“Rasanya sel dah makan dari dari dalam. Sebelum ni bernanah macam bengkak, lepas tu pecah tu yang berlubang. Saya tengok mak seksa sangat.

“Sekarang dia duduk wad paliatif. Mak dah stop kemoterafi sebab dah tak larat. Dia hanya bergantung dengan ubat tahan sakit je,” katanya.

Loading...

Leave a Reply