Portal berita terbaik anda

Utama

Mujahid nafi keluar kenyataan berkaitan serbuan khalwat

KUALA LUMPUR – Selepas kecoh dan panas dengan isu kerajaan tidak lagi melaksanakan serbuan khalwat kepada pasangan Islam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusof tampil nafi bahawa dirinya mengeluarkan kenyataan berkenaan.

Katanya seperti yang dipetik laporan TV AlHijrah, beliau menganggap kenyataannya dimanipulasi akhbar berbahasa Inggeris, The Star.

Jelasnya, beliau hanya menyebut tentang salah guna kuasa penguatkuasaan di ruang awam dengan ruang peribadi yang tidak mengikut kaedah atau cara Islam.

“Kenyataan saya dalam temubual The Star itu apa yang disebut dalam kepala tajuk tidak keluar dari mulut saya.

“Saya hanya bercakap tentang isu kesalahan ataupun yang dikatakan ruang awam dengan ruang peribadi. Saya menumpukan tentang salah guna kuasa dan pencerobohan di ruang peribadi yang tidak menggambarkan kaedah dan cara Islam,” katanya.

Mujahid seperti yang dipetik laporan The Star hari ini berkata, apa yang dilakukan oleh individu di sebalik pintu yang bertutup adalah bukan urusan kerajaan.

Penegasannya itu berkaitan aktiviti peribadi yang dilakukan dalam kawasan persendirian.

Justeru, beliau berkata, jika pegawai agama mendapat laporan khalwat atau aktiviti lain yang menyalahi agama Islam ‘tiada lagi ketukan atau pintu dipecahkan’.

Mujahid ketika dihubungi TV Al Hijrah menambah, beliau tidak pernah menyebut isu kononnya mengarahkan operasi dihentikan pada waktu malam.

“Tidak diketuk pintu itu semua adalah tambahan daripada editor yang mengambil rumusan mereka sendiri daripada kenyataan saya. Sila rujuk kepada temubual yang di dalamnya lebih tepat kepada maksud yang saya ingin sampaikan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Loading...

Leave a Reply