Moorthy tidak layak jadi warganegara Malaysia – Nasrudin

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy terus ditempelak berhubung kenyataannya berhubung hak asasi di negara ini.

Terbaharu Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan pula membidas Moorthy dengan menyifatkan kenyataan itu sebagai sesuatu yang tidak boleh dimaafkan.

“Menghina negara dan membuat kenyataan palsu dan fitnah yang jahat untuk memburukkan negara pada mata dunia, langsung tidak melayakkan beliau menjadi warganegara apa lagi nak jadi menteri,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata demikian berhubung kenyataan Moorthy menerusi sebuah video berdurasi 2 minit 39 saat yang tular kini.

Kelmarin video lama Moorthy tular di media sosial dengan kandungan memburukkan negara termasuk kononnya Malaysia menghadapi masalah pencabulan hak asasi yang kronik.

Selain itu, antara kandungan kenyataan Moorthy adalah mendakwa bahawa ‘Malaysia hanya indah khabar daripada rupa’.

Katanya, ramai pihak luar menganggap Malaysia adalah negara Islam yang moden dan sederhana, tetapi realitinya adalah sebaliknya.

Sebelum ini, Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin terlebih dahulu menempelak Moorthy sebagai penipu besar berhubung hak asasi di negara ini.

Malah, Mohd Asri juga melabelkan Moorthy sebagai pengkhianat kerana memburukkan nama Malaysia di luar negara.

Difahamkan video itu dirakam di Belanda ketika Moorthy hadir ke negara berkenaan bagi ‘meluahkan perasaan’ mengenai perihal Malaysia.

Menjawab perkara ini, Moorthy menerusi satu kenyataan malam tadi berkata, penyebaran video yang tular berhubung kenyataan kontroversinya mengenai berlakunya pencabulan hak asasi di Malaysia merupakan sedutan video 10 tahun lepas.

Katanya, beliau telah diwawancara oleh sebuah stesen TV Belanda selepas ‘ledakan’ perhimpunan Hindraf pada November 2007.

You might like

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *