Cempedak Cheese

Portal berita terbaik anda

Utama

Monopoli punca harga barang tak turun – Guan Eng

Kerajaan menyalahkan monopoli barangan terkawal sebagai antara punca harga barang tidak turun selepas kadar sifar GST pada 1 Jun lalu.

Dalam sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata kerajaan sedang menjalankan kajian berhubung perkara itu dan harga baru gula akan diumumkan.

“Meskipun enam peratus (cukai GST) sudah dimansuhkan, harga masih tidak turun.

“Salah satu faktor adalah apabila ada monopoli yang mahu membuat keuntungan dan menggunakan monopoli itu untuk mengekalkan harga.

“Ambil contoh gula, harga pasaran dunia ditetapkan pada RM1.40 sekilo tapi harga pasaran tempatan RM2.90 sekilo,” katanya.

Tambah Lim, Menteri Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Saifuddin Nasution akan mengumumkan harga baru gula.

Anggota parlimen Bagan itu berkata demikian sebagai mengulas kenyataan senator BN Datuk Khairuddin Samad yang menyorot beberapa harga barang masih tidak turun meski GST berkadar sifar.

Terdapat 22 barangan yang disenaraikan sebagai barangan kawalan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 termasuklah tepung gandum, ayam, roti dan susu.

Saifuddin sebelum ini berkata kementeriannya mengkaji pendekatan holistik untuk memastikan harga barangan kekal rendah.

Menteri PKR sebelum ini mencadangkan agar mengkaji sistem harga barangan terkawal bagi mengurangkan harga barangan dan mengurangkan kesan pelaksanaan SST.

Leave a Reply

Theme by Anders Norén