Mok Mek selesa ‘hidup’ cara Melayu

KUALA TERENGGANU – Tiada beza di raut wajahnya dengan orang Melayu walaupun sebenarnya berbangsa Cina, malah gaya hidup juga tidak ubah seperti masyarakat tempatan.

Itu antara identiti masyarakat Cina Peranakan di negeri ini terutama yang tinggal di kampung kerana sudah lama berlindung di bawah kelompok masyarakat Melayu.

Suri rumah, Ong Bi Yang, 73, dari Kampung Tiruk berkata, kehidupan cara Melayu yang diamalkannya kini mungkin diadaptasi oleh nenek moyangnya yang berhijrah dari tanah besar China satu ketika dulu.

Menurutnya, dikelilingi masyarakat Melayu menyebabkan cara hidupnya juga berubah dan paling ketara ialah makan, minum dan pakaian yang digunakan seharian mempunyai unsur orang Melayu.

“Percakapan juga banyak menggunakan bahasa Melayu berikutan saya tinggal dalam komuniti berbangsa Melayu dan hanya bertutur bahasa Cina ketika ramai orang sebangsa di sesuatu tempat.

“Oleh kerana terlalu banyak menggunakan bahasa Melayu percakapan saya juga tidak pelat berbanding sesetengah kelompok orang Cina yang tinggal di bandar kerana mereka lebih banyak menggunakan bahasa ibunda ketika menjalani kehidupan seharian,” katanya.

Menurutnya, masakan seperti ikan singgang, gulai asam pedas, budu dan petai yang lebih sinonim dengan masyarakat Melayu tidak kekok baginya.

Katanya, dia tidak kekok memakan makanan tradisi masyarakat Melayu berikutan dididik sejak kecil dan menjadi makanan hariannya.

“Begitu juga dengan pakaian kerana saya juga memakai baju kurung, kebaya dan kain batik seperti masyarakat Melayu terutama apabila menghadiri majlis kenduri di rumah penduduk setempat,” katanya.

Ong berkata, dalam kalangan penduduk setempat dia lebih dikenali dengan panggilan Mok Mek iaitu satu panggilan bagi wanita Melayu yang sudah berusia.

Katanya, dia tidak kisah dengan panggilan seperti itu kerana baginya ia membuatkan mereka lebih mesra antara satu sama lain.

“Saya lebih dikenali dengan panggilan sedemikian, malah ramai penduduk kampung tidak tahu nama Cina sebenar saya.

“Selain itu, corak kehidupan Melayu yang sudah sebati dalam diri juga membuat saya lebih gemar menonton rancangan Melayu di televisyen terutama drama.

“Cina Peranakan bezanya dengan orang Melayu hanyalah agama dan dari segi cara hidup tiada beza, tetapi menjadi kebimbangan apabila tradisi seperti ini dilihat kian terhakis apabila golongan muda sudah mula melupainya dan lebih moden,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *