Minyak RM 1.50 seliter janji PRU13 – Rafizi

0
209

KUALA LUMPUR – Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mendakwa penyokong Umno dan Pas masih ‘mamai’ kerana terus membangkitkan isu harga minyak RM 1.50 seliter untuk RON95 sedangkan ia merupakan manifesto semasa PRU13.

Dalam kenyataan di laman Facebook miliknya, Rafizi menjelaskan manifesto harga minyak RM 1.80 seliter pula adalah sebagai contoh sekiranya harga minyak dunia sekitar AS$45 hingga AS$55 setong di mana kadarnya boleh ditetapkan sebegitu mengikut formula digunakan.

Menurutnya, melihat kepada keadaan terkini, beliau berpuas hati dengan pentadbiran kerajaan sekarang kerana berpegang kepada dasar ekonomi pro-rakyat seperti diperjuangkan selama ini.

“Jika Harapan tidak menang pada 9 Mei lepas, rakyat Malaysia telah menanggung harga minyak RON95 yang naik mendadak dari RM2.20 kepada RM2.44 (minggu ini).

“Harga minyak sekarang bukan AS$55 setong, harganya sudah mencecah USD75 setong maka persoalan yang sepatutnya pembangkang dari Umno dan Pas kupas ialah berapa banyak subsidi diberikan bagi setiap liter petrol dan diesel?

“Hakikatnya, harga RON95 yang ditetapkan mengikut formula yang diwarisi dari pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak adalah jauh lebih tinggi dari yang ditetapkan oleh pentadbiran Pakatan Harapan sekarang, ” katanya dalam kenyataan tersebut.

Tambah bekas Ahli Parlimen Pandan itu, beliau tidak membangkang pentadbiran Harapan dalam isu minyak kerana berpendapat subsidi dipulangkan kepada rakyat melebihi daripada apa dijanjikan dalam manifesto.

“Saya ingat pimpinan Umno dan Pas pun tidak bersuara kerana mereka tahu prestasi pentadbiran Harapan dalam bab menstabilkan harga minyak adalah lebih cemerlang dari yang mereka sendiri jangkakan.

“Masalahnya, bukan mudah untuk ‘menyekolahkan’ penyokong taksub Umno dan Pas yang syok sendiri dengan janji manifesto Jenin (angan-angan) yang mereka sendiri igaukan.

“Saya berkempen untuk mengembalikan subsidi minyak kerana saya tahu bagi setiap satu dolar kenaikan harga minyak mentah dunia, Kerajaan Persekutuan akan mendapat untung berlebihan,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here