Cempedak Cheese

Portal berita terbaik anda

Utama

Menteri PH berjanji elaun nelayan, pesawah naik kepada RM300 tahun depan

PULAU PINANG – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani memberi jaminan akan mengembalikan semula jumlah Elaun Sara Hidup (ESH) bagi golongan pesawah dan nelayan kepada RM300 tahun depan.

Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub berkata, beliau akan memperjuangkan supaya perkara itu dimasukkan di dalam Bajet 2020 mengambil kira keadaan golongan berkenaan yang amat memerlukan.

“Malah, saya juga akan memperjuangkan supaya ESH kepada golongan berkenaan ditambah lebih banyak pada masa depan sekiranya keadaan ekonomi negara bertambah baik,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri program Hari Bertemu Pelanggan bersama agensi di bawah kementerian itu di Institut Penyelidikan Perikanan, Batu Maung di sini hari ini.

Pemberian ESH itu melibatkan seramai 40,000 nelayan dan 320,000 pesawah yang layak di seluruh negara.

Dalam pada itu, Salahuddin berkata, pihaknya memandang serius isu pencerobohan bot pukat haram sama ada milik nelayan tempatan atau warga asing yang menangkap ikan di kawasan pantai yang disifatkan semakin membimbangkan.

Menurut beliau, pihak berkuasa khususnya Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) ketika ini mempunyai kekangan dari sudut aset untuk memantau dan bertindak terhadap aktiviti pencerobohan itu.

Malah, katanya, jabatan lain seperti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Jabatan Perikanan juga sudah menyerahkan aset masing-masing kepada Maritim Malaysia bagi tujuan pemantauan sekali gus menyebabkan usaha membanteras pencerobohan haram itu semakin terhad.

“Sehubungan itu, jawatankuasa Kabinet yang ditubuhkan bagi membincangkan perkara ini akan bermesyuarat minggu depan bagi melihat langkah-langkah yang boleh diambil.

“Ini kerana masalah pencerobohan haram ini boleh dikatakan berlaku hampir setiap hari serta di kebanyakan kawasan pantai sepeti di Perak, Johor, Pantai Timur serta di negeri ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Theme by Anders Norén