Menteri PAN diibaratkan ada tidak menguntungkan, tiada tidak merugikan

0
165

KUALA LUMPUR – Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Mohamad Agus Yusoff menyifatkan barisan Menteri daripada Parti Amanah Negara (PAN) seperti ‘ada tidak menguntungkan, tiada tidak merugikan.

Ini kerana, sejak enam bulan mentadbir kerajaan di Putrajaya, pemimpin daripada PAN tidak menunjukkan prestasi yang memuaskan dan berada di paras gred purata.

Kata Agus, gred itu hanyalah 40 peratus sahaja.

“Menteri PAN lima orang. Saya beri purata prestasi mereka 40 peratus, dengan Datuk Seri Dr Dzulkifley terbaik antara lima.

“Terbaik kerana beliau menjawab di Parlimen dengan baik dan substantif. yang lain-lain seadanya sahaja. Ada tidak menguntungkan, tiada tidak merugikan,” katanya yang dipetik dari Sinar Harian.

Agus berkata lagi, gejala sindrom penafian yang dahulunya diamalkan sesetengah menteri UMNO sudah berjangkit kepada menteri dalam kerajaan sekarang.

“Saya fikir dahulunya menteri Umno sahaja yang terperangkap dengan gejala sindrom penafian, tetapi gejala ‘syok sendiri’ ini berjangkit juga kepada pemimpin PAN,” katanya.

Mengulas mengenai beberapa orang menteri, Agus berkata, setiap menteri dalam kerajaan mempunyai perangai yang tersendiri yang boleh disifatkan sebagai tidak cekap begitu juga penasihat yang dilantik oleh menteri terbabit.

Ada juga menteri yang menjawab soalan dari pembangkang secara berbelit-belit sehingga sukar difahami maksud dan makna yang ingin disampaikan.

“…seorang menteri PAN, semasa menjawab soalan di Dewan Rakyat, suka mengulang perkataan “saya sekarang menteri. Tak cukup peruntukan, saya akan bincang dengan Menteri Kewangan (Lim Guan Eng).” Program kementerian banyak yang dirancang, tetapi tiada yang luar biasa. Berterusan retorik.

“Seorang menteri lagi, suka bercakap. Semua hal hendak dijawabnya, pantang wartawan tanya. Sebab itulah jawapan selalu tersasul sehingga ada yang mencetuskan kontroversi. Polisi baharu tidak ada. Klise sahaja. Sebab terjadi begini kerana menteri tidak cekap dan pegawai serta penasihatnya pun sama. Maka, beginilah jadinya,” tambahnya.

Agus menambah, prestasi PAN di dua negeri Pantai Timur juga hanya mahu terus dengan sikap ‘survive’ atau bertahan dan jika keadaan berterusan, dikhuatiri PAN akan hilang fungsi selepas Pilihan Raya Umum ke-15.

“Malangnya, saya perhatikan PAN di dua negeri ini seperti hidup segan mati tak mahu. Jika begini senarionya, selepas PRU15 nanti, semakin hilanglah PAN dari radar peta politik negara,” katanya.

PAN membariskan sembilan pimpinan tertinggi untuk menjawat jawatan menteri dan timbalan menteri dibawah barisan kabinet PH yang dipimpin oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pada PRU14 lalu, PAN telah bertanding 22 kerusi Parlimen yang mana 11 kerusi Parlimen berjaya dimenangi parti itu setelah dua tahun ditubuhkan dan menyertai gabungan dalam Pakatan Harapan untuk berhadapan dengan BN dan Pas. – Suara.TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here