Cempedak Cheese

Portal berita terbaik anda

Utama

Menteri DAP mahu kerajaan PH ‘halau’ Zakir Naik keluar dari Malaysia

PUTRAJAYA – Dua Menteri dari DAP membangkitkan isu kehadiran Zakir Naik ke negara ini termasuk beberapa kenyataan kontroversi dibuat oleh pendakwah antarabangsa itu kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam Mesyuarat Kabinet hari ini.

Menurut kenyataan bersama Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, mereka juga menyatakan pendirian masing-masing agar Zakir tidak lagi dibenarkan untuk dikekalkan di negara ini.

“Perdana Menteri telah mengambil perhatian terhadap kebimbangan kami ini. Kami berikan kepada beliau untuk mempertimbangkan kedudukan dan membuat keputusan dengan segera terhadap apa yang akan dilakukan untuk menangani masalah tersebut,” kata kedua-dua anggota kabinet itu dalam kenyataan di sini hari ini.

Selain itu, Kulasegaran dan Gobind juga menyatakan kebimbangan orang ramai terhadap ucapan dan kenyataan dibuat Zakir yang mencetuskan kemarahan orang ramai.

“Kami juga menyatakan bantahan agar Zakir tidak boleh lagi mengadakan sebarang aktiviti di negara ini buat sementara atau membuat sebarang kenyataan kenyataan yang mendatangkan kesan kepada hubungan kaum dan ketenteraman awam,” kata kenyataan itu.

Baru-baru ini, Zakir dalam satu ceramah didakwa berkata, adalah malang kerana masyarakat India di Malaysia lebih setia kepada Perdana Menteri, Narendra Modi berbanding Dr. Mahathir.

Zakir juga didakwa membandingkan nasib masyarakat beragama Hindu di Malaysia yang menikmati hak sepenuhnya berbanding orang Islam di India.-UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Theme by Anders Norén