Mak siap kelengkapan nak meninggal di Tanah Haram

SUNGAI PETANI – “Kalau mak meninggal, mak dah siapkan semua kelengkapan mak, ambil ja dalam beg ni, telekung semua mak dah siap,”

Demikian pesanan Siti Faridah Ahmad, 64, jemaah umrah yang meninggal dunia di Madinah awal pagi tadi kepada anaknya, Noor Hashimah Sabdin, 33.

Menurut Noor Hashimah, arwah yang sudah 12 kali menunaikan umrah pernah memasang niat untuk meninggal dunia di Mekah atau Madinah, membolehkan dia berusaha berkunjung ke tanah suci saban tahun jika diberi kesempatan.

“Itu yang mak pesan kat anak-anak, dia siap dah kelengkapan semua.

“Mak juga pernah kata kat kawan dia, kalau boleh dia nak meninggal dunia di Mekah atau Madinah, bila dapat tau berita kematian ini, maka termakbullah hajat mak,” katanya.

Menurut Noor Hashimah, berita kematian disampaikan mutawif yang mengendalikan perjalanan umrah yang disertai Siti Faridah pada jam 3.35 pagi tadi waktu Malaysia, lima minit selepas arwah disahkan meninggal dunia.

“Seluruh ahli keluarga bersedih tapi jauh di sudut hati rasa amat bersyukur sebab mak dijemput Ilahi di tempat paling suci iaitu semasa dalam perjalanan menuju ke Raudhah, Masjid Nabawi.

“Mak pesan pada abang (anak sulung) sebelum bertolak supaya jaga adik-adik, kami semua lima beradik dan adik bongsu dah meninggal dunia pada 2014. Arwah ayah pun dah meninggal tiga tahun lepas, sejak itu, saya duduk dengan mak.

“Bila arwah mak tiada, rasa sangat kehilangan, kami tahu dia pergi umrah macam biasa, macam tahun-tahun lepas, tetapi tahun ini berbeza sekali, dia pergi buat selama-lamanya. Moga Allah terima mak, terima segala amalan mak, Insha-ALLAH,” katanya.

Menurut Noor Hashimah, antara kenangan paling manis, arwah ibunya sempat menghantar kiriman gambar dirinya buat kali terakhir pada pagi sebelum arwah meninggal dunia.

“Raudhah tu taman-taman syurga, depa kata mak jatuh masa melangkah ke Raudhah, anak-anak mak doakan, mak kini sedang melangkah ke syurga, Insha-ALLAh,” katanya.

Arwah Siti Faridah dipercayai meninggal dunia kira-kira jam 9 malam waktu tempatan semasa sedang melangkah menuju ke Raudah di Masjid Nabawi.

Mangsa bersama kumpulan jemaah wanita baharu sahaja turun dari tempat penginapan dan sedang melangkah menuju ke Raudhah sebelum terjatuh dan disahkan meninggal dunia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *