Melayu Natuna, bertutur loghat Terengganu tetapi warganegara Indonesia

Buat mereka yang selalu berulang-alik dari kepulauan Borneo ke Semenanjung Malaysia, pastinya pernah nampak gugusan pulau ini dari udara kan?

Terletak berhampiran dengan negeri Terengganu, gugusan pulau ini dikenali sebagai Kepulauan Natuna. Kepulauan ini boleh dikategorikan ‘bermisteri’ kerana kurang dikenali oleh orang Malaysia.

Bukan sebab ianya dianak tirikan oleh Kerajaan Persekutan, sebaliknya kepulauan ini bukanlah merupakan milik Malaysia, tetapi Indonesia.

Kepulauan Natuna adalah gugusan kepulauan yang berselerakan di tengah-tengah Laut China Selatan yang memisahkan Semenanjung Malaysia dan Sabah serta Sarawak. Ia terletak lebih kurang 450km di utara pulau Singapura.

Pulau terbesar di dalam gugusan kepulauan Natuna adalah Pulau Serindit atau nama lainnya, Pulau Bunguran.

Nama antarabangsa yang diiktiraf bagi Pulau Bunguran ialah ‘Natuna’. Walaupun dikatakan terpencil, Kepulauan Natuna terletak di kawasan laluan utama perdagangan antara Asia Timur dan Asia Barat.

Berpusatkan kota Ranai sebagai ibu negerinya, Kepulauan Natuna terdiri daripada 272 buah pulau yang terletak di barat laut Pulau Borneo.

Mungkin terdapat sebahagian daripada kita yang bertanya; kenapakah kepulauan Natuna yang terletak di tengah-tengah Malaysia, bukan milik Malaysia?

Gugusan pulau-pulau telah diisytiharkan sebagai wilayah luar Indonesia seperti yang termaktub di dalam Deklarasi Djuanda pada tahun 1957 oleh republik itu dan kemudiannya telah didaftarkan ke PBB pada tahun 2009 sebagai wilayah Indonesia.

Di bawah konsep undang-undang antarabangsa, sesebuah wilayah itu boleh diperolehi oleh sesebuah kerajaan atau kuasa pemerintah melalui empat cara iaitu perluasan wilayah melalui cara semulajadi (accretion), penyerahan wilayah (cession), penjajahan, dan effective occupation ataupun prescription.

Prescription merujuk kepada tindakan sebuah negara yang mezahirkan kedaulatan dengan cara mengamalkan penguasaan ke atas wilayah tertentu tanpa dibantah oleh negara-negara lain.

Berdasarkan fakta ini, boleh dikatakan bahawa Indonesia telah menguasai Pulau Natuna selama 56 tahun tanpa bantahan dari Malaysia sejak tahun 1956.

Sehingga tahun 2010, dianggarkan penduduk di Kabupaten (Regency) Natuna ialah sebanyak 69,003 orang, yang terdiri daripada 35,741 orang lelaki dan 33,262 perempuan.

Lebih kurang 85% penduduk di sana 85.27% adalah berketurunan Melayu dan selainnya adalah berketurunan Jawa, Sumatera dan Cina.

Bahasa pertuturan utama adalah Bahasa Melayu dielek negeri Terengganu dan Islam adalah agama utama penduduk di Kabupaten Natuna.

Untuk ke sana, pengunjung boleh menaiki bot daripada Pulau Batam di Indonesia ataupun menaiki pesawat dari Riau, Indonesia ataupun dari Miri, Sarawak.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here