Portal berita terbaik anda

Utama

Melaka terbeban hutang RM1.8 bilion

MELAKA – Hutang kerajaan Melaka yang kini berjumlah RM1.8 bilion boleh memberi kesan kepada usaha melaksana pelbagai inisiatif membantu rakyat.

Ketua Menteri Adly Zahari berkata jumlah peruntukan diterima kerajaan negeri daripada kerajaan persekutuan akan berkurangan apabila ia ditukar dengan jumlah bayaran hutang, sekali gus boleh menjejaskan jumlah tunai dimiliki kerajaan negeri bagi melaksana inisiatif untuk rakyat.

“(Daripada) jumlah hutang RM1.8 bilion itu, lebih RM370 juta adalah pinjaman pendahuluan daripada kerajaan persekutuan, dan lebih RM600 juta merupakan hutang akibat defisit dan selebihnya hutang awam.

“Usaha kurangkan hutang perlu tetapi kita juga perlu tingkatkan lagi pendapatan dan mengamal langkah penjimatan, yang penting kita ada lebihan dan daripada lebihan itu kita akan rancang lebih banyak (inisiatif) untuk rakyat,” katanya kepada pemberita di luar Persidangan Dun Melaka di sini hari ini.

Beliau berkata kerajaan negeri menstruktur semula hutang tersebut dalam usaha memastikan ia tidak menjadi beban kepada pentadbiran kerajaan negeri dan rakyat secara amnya.

Adly berkata bagi pinjaman pendahuluan daripada kerajaan persekutuan, pihaknya tidak membuat pinjaman pendahuluan baharu sehingga kini, sebaliknya membuat penstrukturan semula agensi kerajaan negeri yang terlibat dengan hutang awam.

Bagi hutang akibat defisit disebabkan perbelanjaan melebihi jumlah pendapatan yang mengakibatkan kerajaan negeri terpaksa berhutang bagi menampung perbelanjaan itu, beliau berkata kerajaan negeri komited untuk mengurangkan jumlah defisit tersebut.

“Belanja kita kekal defisit tetapi kaedahnya kita kena kurangkan defisit supaya tidak terlalu tinggi. Tahun lepas (defisit) RM79 juta, tahun ini sehingga Oktober sebanyak RM30 juta…walaupun kita dapat kurangkan kita masih dipacu defisit.

“Maka kita kena kurangkan perbelanjaan kita sampai pendapatan lebih daripada perbelanjaan, selain menambah pendapatan kita daripada pelbagai punca,” katanya.

Terdahulu dalam sesi soal jawab pada persidangan itu, Adly berkata langkah kerajaan negeri mengumumkan jumlah hutangnya adalah selaras dengan dasar ketelusan diamalkan PH dan bukannya untuk menakut-nakutkan pelabur.

“Berdasarkan ketelusan inilah, pelabur akan yakin dengan kita dan cara kepimpinan Malaysia baharu,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Ketua Pembangkang Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), yang bertanya tentang tujuan kerajaan negeri mengumumkan jumlah hutang ditanggung. – Bernama

Loading...

Leave a Reply