Portal berita terbaik anda

Utama

MB Terengganu kini bergelar Datuk Seri

KUALA TERENGGANU – Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar kini bergelar Datuk Seri apabila Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menganugerahkan Darjah Kebesaran Negeri Terengganu hari ini.

Beliau menerima Darjah Kebesaran Seri Setia Sultan Zainal Abidin (S.S.M.Z).

Selain Ahmad Samsuri, Sultan Mizan turut berkenan menganugerahkan Darjah Kebesaran – Darjah Dato’ Paduka Mahkota Terengganu (D.P.M.T) yang membawa gelaran Datuk kepada sembilan individu.

Mereka ialah Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Yahaya Ali; Pegawai Kewangan Negeri, Mohd Zahari Md Azahar; Pengarah Tanah dan Galian Terengganu, Zainal Abidin Hussin dan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu (Tesdec), Kamaru Al-Amin Ismail.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Mohd Azmi Mohamad Daham turut menerima gelaran yang sama berserta empat lagi individu iaitu Mohd Shukri Azam​​​​​​​; Mohd Rosli Janah; Che Mat Din Ismail dan See Kok Yem.

Istiadat pengurniaan gelaran dan bintang-bintang darjah kebesaran negeri itu berlangsung di Istana Syarqiyyah di sini.

Hari ini, Sultan Mizan berkenan menyampaikan darjah kebesaran kepada seramai 53 penerima termasuk tiga anakanda baginda iaitu Tengku Nadhirah Zahrah, Tengku Muhammad Mua’az dan Tengku Fatimatuz Zahra’.

Senarai penuh penerima akan dikeluarkan pihak Setiausaha Kerajaan Negeri hari ini. – BERNAMA

Loading...

Leave a Reply