MB Perak sedih kawan dalam satu parti desak letak jawatan

IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu tidak tertekan dengan desakan 8 Ketua Bahagian PPBM di negeri ini yang mahukan beliau meletak jawatan.

Pengerusi PPBM Perak itu ketika ini lebih memfokuskan untuk memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat selepas Pakatan Harapan (PH) berjaya menubuhkan kerajaan negeri pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang lalu.

“Saya sedih jugalah apabila kawan-kawan (dalam parti) suruh saya letak jawatan tetapi saya masih ‘okay’ sebab saya sudah kerap kali disuruh letak jawatan daripada mula-mula menjadi pengerusi PPBM (negeri) sebelum kita belum menubuhkan kerajaan negeri.

“Namun, saya sentiasa cuba (melaksanakan tugas) dengan seikhlas mungkin kerana saya bukan orang yang sempurna, tentunya ada kelemahan tetapi saya yakin kepada mereka yang mendukung semangat perjuangan parti seterusnya membantu saya memperkuatkan parti agar kita dapat memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat,” katanya.

Ahad lepas, 8 ketua bahagian PPBM iaitu Beruas, Bagan Serai, Lenggong, Gerik, Teluk Intan, Tapah, Batu Gajah dan Larut yang menerima notis pembuburan bahagian masing-masing mendesak Ahmad Faizal meletakkan jawatan kerana didakwa gagal dan tidak mampu mentadbir urus parti berkenaan dengan baik sehingga menimbulkan pelbagai masalah di peringkat akar umbi.

Ketua Bahagian Gerik, Ibrahim Hanafiah mendakwa mereka menganggap pembubaran beberapa bahagian parti tidak mengikut perlembagaan parti.

Beliau turut menafikan jawatankuasa bahagian terbabit tidak lagi berfungsi, tidak aktif dan ahlinya tidak dapat dikesan.

Mengulas lanjut, Faizal berkata tindakan majlis pimpinan tertinggi parti yang membubarkan beberapa bahagian di negeri ini sah mengikut perlembagaan parti.

“Saya hadir dalam mesyuarat majlis pimpinan tertinggi itu yang membubarkan beberapa bahagian dan itu adalah satu keputusan bersama dan bukannya semata-mata keputusan 1 atau 2 orang pemimpin.

“Saya tidak fikir apabila keputusan kepimpinan untuk membubarkan (bahagian) kita, tiba-tiba itu bukan keputusan yang tepat, tetapi apabila kepimpinan melantik kita untuk sesuatu jawatan, ia adalah keputusan yang tepat. Ini bukanlah satu semangat politik yang nak dibawa oleh parti,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *