Cempedak Cheese

Portal berita terbaik anda

Jenayah

Mayat Nur Aisyah hanya tinggal tengkorak, anggota badan lain hilang

LANGKAWI – Tragis dan kejam.

Tanda tanya kehilangan kanak-kanak berusia tiga tahun yang dipercayai dilarikan sepasang suami isteri akhirnya terungkai apabila mayat kanak-kanak perempuan itu ditemukan kira-kira pukul 11.30 pagi ini dalam keadaan menyayat hati di Gunung Raya, di sini.

Nur Aisyah Aleya Abdullah, yang dilaporkan hilang sejak akhir bulan lalu dipercayai mati dibunuh di Kuarters Hospital Langkawi sebelum mayatnya dibuang di kawasan sebuah gaung menuju ke puncak gunung tersebut.

Lebih tragis, polis hanya menemukan bahagian tengkorak kepala mangsa yang memiliki cebisan rambut, manakala anggota badan lain tidak ditemukan di lokasi kejadian.

Ketua Polis daerah, Superintenden Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, kanak-kanak malang itu dipercayai mati kira-kira tiga minggu lalu sebelum suspek disyaki bertindak membuang mayat tersebut di bawah sebatang pokok berhampiran gaung.

“Berdasarkan siasatan, suspek lelaki telah menyumbat mayat kanak-kanak itu ke dalam beg pakaian lalu membuang di Gunung Raya, namun lama-kelamaan mayat itu dipercayai dimakan binatang liar di kawasan itu dan hanya tinggal tengkorak kepala.

“Malah, bahagian kepala itu ditemukan di kawasan gaung yang berkedalaman kira-kira 10 meter dari lokasi pertama mayat itu dibuang,” katanya dalam sidang akhbar di lokasi kejadian, di sini hari ini.

Utusan Malaysia kelmarin melaporkan, Nur Aisyah Aleya hilang dipercayai dilarikan sepasang suami isteri yang juga kenalan ibu kanak-kanak itu di Langkawi, di sini.

Mengulas lanjut, ujar Mohd. Iqbal, suspek lelaki yang berusia 37 tahun dipercayai berang dengan kanak-kanak itu yang menangis dan kononnya diserang sawan ketika sedang memujuk.

“Suspek dipercayai ada menepuk-nepuk belakang badan kanak-kanak itu sebelum dia muntah serta disedari tidak bernyawa kira-kira dua jam sebelum suspek bertindak sedemikian rupa.

“Isteri suspek berusia 40 tahun yang juga seorang jururawat turut berada di kediaman mereka ketika kejadian dan kedua-dua mereka kini ditahan bagi membantu siasatan,” katanya.

Tambah beliau, polis mengklasifikasikan semula kejadian itu di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan pihaknya akan mendapatkan perintah reman terhadap kedua-dua suspek esok. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Theme by Anders Norén