Portal berita terbaik anda

Jenayah

Mayat bayi terkeluar usus dijumpai di tapak lupus sampah

KOTA KINABALU – Polis kini giat mengesan individu tidak bertanggungjawab yang dipercayai terlibat dalam kes pembuangan bayi perempuan di kawasan tapak pelupusan sampah Kayu Madang Telipok di sini semalam.

Mayat bayi yang cukup bulan dan baru dilahirkan itu ditemui pekerja di tapak pelupusan tersebut lebih kurang pukul 10.40 pagi.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M. Chandra berkata, susulan penemuan mayat bayi dalam keadaan menyayat hati pekerja terbabit bertindak memaklumkan kepada pihak pengurusan tapak sebelum membuat laporan polis.

“Hasil siasatan terhadap mayat bayi itu mendapati keadaan fizikalnya membengkak dan ususnya terkeluar.

“Mayat kemudian dihantar ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Kota Kinabalu (HWKK) di Likas untuk bedah siasat,” katanya di sini hari ini.

Tambah Chandra, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian berkenaan diminta tampil atau menghubungi pegawai penyiasat, Nur Nabila Ismailuddin di talian 013-280 923.

Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan menyebabkan kematian. – K! ONLINE

Loading...

Leave a Reply