Mayat artis mula mereput ditemui di pangsapuri

0
395

BEKAS artis terkenal TVB, Yammie Lam Kit-ying ditemui maut di pangsapurinya di Stanley, Hong Kong awal pagi semalam.

Memetik laporan South China Morning Post, seorang pegawai kanan polis mengesahkan mayat wanita yang ditemui tanpa sebarang kesan luka itu sebagai Lam, berusia 55 tahun.

Katanya, mayat mula mereput itu ditemui di tandas pangsapuri berkenaan terletak di Leung Ma House di Ma Hang Estate.

Cukup terkenal kerana kecantikannya, nama Lam mula masyhur lewat 1980-an selepas muncul dalam siri TV seperti Looking Back in Anger dan The Greed Man yang turut dibintangi Adam Cheng Siu-chow dan Sean Lau Ching-wan.

Kali terakhir jiran aktres itu melihatnya adalah pada Rabu lalu.

Sementara itu, seorang kawan Lam, bernama Lui, yang melawatnya pada malam Jumaat dan terhidu bau busuk dari flat dan menelefon polis pada jam 12.28 pagi apbila panggilannya tidak dijawab.

“Kami turut menemui rekod panggilan telefon Lam pada hari sama, menunjukkan beliau mungkin mati sejak dua hari lalu,” kata sumber polis.

Polis kini cuba menghubungi keluarga Lam.

Melalui siasatan awal mendapati, tiada sebab yang mencurigakan di sebalik kematiannya.

Populariti Lam merudum selepas terbabit dalam kemalangan pada 1998 yang mengakibatkan kecederaan serius pada tangan dan lehernya.

Beliau turut dilaporkan mengalami masalah mental dan diisytihar muflis pada 2006 sehingga terpaksa hidup dengan mengharapkan bantuan kewangan.

Pada 2013, industri seni Hong Kong sekali lagi dikejutkan dengan pendedahan Lam yang mendakwa pernah dirogol dua peneraju utama industri hiburan tempatan berdekad lalu.

Namun, nama penyerang terbabit tidak didedahkan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here