Masyarakat Tanjung Piai akan rugi jika tak pilih calon PH – Mahathir

PONTIAN – Masyarakat tempatan akan rugi jika tidak mengundi calon Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai semata-mata kerana marah terhadap kerajaan, kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), berkata calon PH, Karmaine Sardini, mampu memberi khidmat terbaik termasuk membawa pembangunan melalui peruntukan kerajaan.

“Jangan disebabkan marah kononnya percaya kerajaan tidak membuat perkara baik sedangkan tuduhan itu tidak berasas, kita tidak mahu undi calon PH.

“Kalau sebab nak marah, kita tolak calon yang boleh berkhidmat, kita yang akan rugi. Hanya kerajaan sahaja boleh beri bantuan kepada rakyat, jadi pengundi perlu pilih calon PH demi kebaikan bersama,” katanya ketika berucap pada ceramah perdana PH di Kukup Laut di sini, malam ini.

Yang turut hadir, Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifudin Nasution Ismail dan calon PH bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, Karmaine Sardini.

Dr Mahathir juga berkata, barisan Kabinet kerajaan PH sudah semakin cekap menguruskan negara selepas setahun setengah mengambil alih pentadbiran daripada Barisan Nasional (BN).

Banyak pihak percaya kerajaan PH akan gagal mentadbir, namun keamanan yang dinikmati negara hingga kini selain tiada rusuhan berlaku selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) adalah bukti kejayaan kerajaan PH.

“Rakyat pasti memberontak dengan berdemonstrasi setiap hari jika kerajaan PH tidak jalankan tugas dengan baik, tetapi itu tidak berlaku,” katanya.

Loading...

Leave a Reply