Portal berita terbaik anda

Utama

Marzuki kemuka bukti miliki ijazah CIU

TIMBALAN Menteri Luar Datuk Marzuki Yahya hari ini mengemukakan bukti beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Pengurusan Logistik) dari Cambridge International University (CIU), Amerika Syarikat.

Menerusi kenyataan di laman Facebooknya, beliau turut memaparkan salinan transkrip rekod akademik dan sijil ijazah daripada CIU sekali gus membuktikan beliau adalah siswazah CIU dan bukannya University of Cambridge, United Kingdom.

Menurutnya, beliau seikhlasnya tidak pernah berniat untuk menggunakan kelayakan akademiknya bagi mengelirukan sesiapa.

“Ini kerana niat asal pengajian saya 17 tahun dahulu adalah menimba ilmu dalam bidang perniagaan yang saya ceburi.

“Ketika itu, tidak pernah terlintas di hati saya suatu hari nanti saya akan berada pada kedudukan hari ini sebagai seorang anggota pentadbiran kerajaan,” katanya.

Beliau juga menyerahkan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohammad dan kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) untuk menentukan kedudukannya dalam kerajaan dan parti.

“Ada pihak yang mengatakan saya tidak bercakap benar kerana di Wikipedia tertulis saya mendapat pendidikan dari University of Cambridge sedangkan universiti itu tidak menawarkan kursus Bachelor of Business Administration in Logistics (Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dalam Logistik) dan tidak menawarkan program pengajian secara jarak jauh,” katanya.

Beliau turut menegaskan tidak pernah memasukkan apa-apa maklumat berkaitan pendidikannya di Wikipedia dan sama sekali tidak pernah mengarahkan sesiapa untuk berbuat demikian.

“Bahkan, ketika ditanya oleh media sebelum ini, saya menyatakan dengan jelas bahawa saya mendapat kelulusan dari CIU di Amerika Syarikat dan bukannya University of Cambridge,” katanya.

Loading...

Leave a Reply