Portal berita terbaik anda

Politik

Manogaran pakai baju berlogo PH masuk pusat mengundi?

KUALA LUMPUR- Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mendakwa petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membenarkan calon Pakatan Harapan Pilihan Raya Kecil Parlimen Cameron Highlands, M. Manogaran memasuki pusat mengundi memakai baju mempunyai logo Pakatan Harapan.

Dr. Asyraf Wajdi yang berkongsi dua gambar Manogaran memakai baju mempunyai logo Pakatan Harapan di dalam pusat menggundi SK Senderut di Facebook beliau sebentar tadi.

Menurut Dr. Asyraf Wajdi, perbuatan Manogaran jelas bertentangan dengan peraturan SPR.

“Macam mana SPR boleh benarkan calon PH masuk ke dalam kawasan tempat pembuangan undi di SK Senderut dengan memakai baju berlambang logo parti?

“Sudah banyak kesalahan-kesalahan pilihan raya yang telah dilaporkan sepanjang PRK Cameron Highlands ini tapi tampak seolah-olah SPR membisu dan membutakan mata,” kata Dr. Asyraf Wajdi.

Seksyen 26(1)(g) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 menetapkan tiada seorang pun boleh pada hari mengundi dalam jarak lima puluh meter dari sempadan mana-mana tempat mengundi dan dalam tempat mengundi, memakai, memegang atau membawa apa-apa bentuk atau jenis pakaian, tutup kepala, barang hiasan, roset, botol air atau payung yang pada nya tercetak atau tertera nama calon atau nama, lambang atau simbol mana-mana parti politik.

Mengikut akta tersebut mana-mana orang yang melanggar mana-mana peruntukan subseksyen boleh, apabila disabitkan, dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan dan didenda kedua-duanya.

Sesuatu kesalahan di bawah subseksyen ialah kesalahan boleh tangkap mengikut pengertian Kanun Tatacara Jenayah.-UTUSAN ONLINE

Loading...

Leave a Reply