Mangsa ragut meninggal dunia, bayi 8 bulan hilang kasih ibu sekelip mata

Seorang wanita yang menjadi mangsa ragut meninggal dunia selepas koma sejak dua bulan lalu.

Mangsa, Nur Farahdila Zulkifli menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan di unit rawatan rapi Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang malam tadi.

Dalam kejadian pada 23 Novermber tahun lalu, mangsa yang diragut ketika dalam perjalanan ke tempat kerja mengalami patah leher selain beberapa kecederaan lain termasuk pecah bibir mulut dan bengkak jari.

Mangsa meninggalkan suami dan seorang anak lelaki berusia lapan bulan.

Sementara di media sosial, rata-rata netizen memberikan ucapan takziah dan mengajak orang ramai menyedekahkan Al-Fatihah kepada arwah.

Suami mangsa ragut mahu suspek dihukum mati

“Nyawa perlu diganti nyawa,” kata Muhamad Ridzuan Tan, 48, suami kepada mangsa samun, Nurfarahdila Zulkifli Amin yang meninggal dunia semalam.

Wanita berusia 32 tahun itu menghembuskan nafas terakhir di Hospital Seberang Jaya selepas hampir dua bulan menerima rawatan.

Muhamad Ridzuan berkata, jika ikutkan perasaan, dia sekeluarga mahu pelaku yang menyebabkan kematian arwah isterinya menerima balasan kematian juga.

“Tapi kita ada undang-undang walaupun apa yang saya terima, pelaku sepatutnya terima juga,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Batu 10, Jalan Taiping, Bagan Serai, hari ini.

Menurutnya, sejak tragedi menimpa arwah pada November lalu, kehidupannya dan anak lelaki berusia lapan bulan tidak terurus kerana mengenangkan Nurfarahdila yang bertarung nyawa.

“Disebabkan itu, kami sekeluarga amat berharap pihak berkuasa menjalankan siasatan dengan telus dan menjatuhkan hukuman setimpal dengan apa yang sudah dilakukannya kepada kami,” katanya.

Berkongsi keadaan arwah isterinya sebelum ini, Muhamad Ridzuan berkata, kesihatan Nurfarahdila semakin merosot pada 4 Januari lalu dan koma sehingga menghembuskan nafas terakhir.

Katanya, lelaki yang menyamun arwah sempat melarikan wang tunai RM450, kad pengenalan Nurfarahdila dan anak mereka selain, cincin perkahwinan yang dipakai.

“Itu (cincin) sahaja kenangan kami yang paling bermakna, namun hilang angkara penjenayah itu,” katanya yang memberitahu arwah juga sudah merancang untuk menunaikan umrah tahun ini.

Jenazah Nurfarahdila tiba di rumahnya pada 3.25 petang hari ini dan disembahyangkan di Masjid Jamek Bagan Serai terlebih dahulu.

Jenazah kemudian dikebumikan di Tanah Perkuburan Jalan Matang Buluh selepas Asar.

Loading...

Leave a Reply