Suasana pilu pengebumian jenazah mangsa Covid-19 di Johor Bahru

Jenazah lelaki berusia 34 tahun itu, dilihat tiba dari HSA dengan menaiki van jenazah pada 8.15 malam tadi.

Kira-kira 10 lelaki dipercayai kakitangan hospital selain orang awam, dilihat mendengar taklimat sebelum memakai peralatan perlindungan peribadi (PPE).

Pada 8.45 malam, kesemua mereka dilihat menghampiri van jenazah sebelum mengangkat jenazah yang siap dikapankan, menggunakan pengusung hospital.

Orang ramai termasuk media tidak dibenarkan menghampiri kawasan perkuburan sehingga selesai pengebumian.

Mangsa yang meninggal dipercayai kes-178, yang pernah menghadiri Perhimpunan Ijtimak Tabligh di Masjid Jamek Seri Petaling, di Kuala Lumpur pada 27 Februari hingga 1 Mac lalu.

Mangsa dilaporkan mula mengalami gelaja demam mulai 5 Mac lalu, sebelum mendapat rawatan di Hospital Permai, Johor Bahru, pada 12 Mac selepas dikesan positif Covid-19.

Keadaannya didapati merosot dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) sebelum disahkan meninggal dunia tengah hari ini.

Difahamkan isteri dan anak mangsa tidak menghadiri majlis pengebumian berkenaan kerana sedang dikuarantinkan di Hospital Permai.

Malaysia catat dua kematian Covid-19

PUTRAJAYA: Dua kematian COVID-19 pertama negara dilaporkan hari ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba menjelaskan, ia merupakan kes ke-178 dan kes ke-358.

“Kes ke-178 merupakan lelaki warga Malaysia berumur 34 tahun yang pernah hadir perhimpunan tabligh di Sri Petaling. Beliau bergejala mulai 5 Mac dan dirawat di Hospital Permai pada 12 Mac selepas positif COVID-19. Keadaan beliau merosot dan dimasukkan ke ICU. Beliau disahkan meninggal dunia hari ini.

“Sementara kes ke-358 adalah lelaki warga tempatan 60 berusia mempunyai sejarah kronik. Mula bergejala pada 7 Mac dan dirawat Hospital Umum Sarawak pada 14 Mac.

“Kesihatannya mula merosot dan dimasukkan ke ICU. Beliau disahkan meninggal dunia pada 17 Mac,” katanya dalam sidang media di pejabatnya di sini, pada Selasa.

Sehingga Selasa pukul 12 tengah hari katanya, terdapat 120 kes baharu yang telah dilaporkan.

Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 673 kes.

“Berdasarkan siasatan awal, daripada 120 kes baharu yang dilaporkan hari ini, sebanyak 95 kes positif COVID-19 adalah berkaitan dengan kluster perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Seri Petaling.

“Sehingga kini, seramai 12 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan memerlukan bantuan pernafasan,” jelasnya.

Pada Isnin, KKM melaporkan, sebanyak 125 kes positif COVID-19 dilaporkan.

Dengan angka tersebut, jumlah kes positif COVID-19 setakat pukul 12 tengahari Isnin adalah sebanyak 553 kes.

Dalam pada itu pihaknya turut menggesa orang ramai untuk mematuhi segala arahan berkaitan dengan perintah Perintah Kawalan Pergerakan mengikut peruntukan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Akta Polis 1967 (Akta 344) yang akan dikuatkuasakan mulai 18 Mac sehingga 31 Mac 3020.

Tegasnya, kegagalan mematuhi mana-mana arahan tersebut, sekiranya disabitkan dengan kesalahan boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 24 Akta 342.

“Kesalahan pertama, boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau didenda, atau kedua-duanya.

“Kesalahan kedua atau kesalahan berikutnya, boleh dipenjarakan tidak melebihi lima tahun atau didenda, atau kedua-duanya.

“Kesalahan yang berterusan didenda selanjutnya tidak melebihi RM200.00 bagi tiap-tiap hari kesalahan itu berterusan,” ujarnya.

Dr Adham sebelum ini menjelaskan, pihaknya akan menambah 830 jururawat dalam usaha menangani penularan COVID-19 di negara ini.

Beliau berkata lantikan secara kontrak itu bagi menambah kapasiti petugas di 135 hospital kerajaan di seluruh negara memandangkan bilangan kes positif COVID-19 semakin ketara sejak minggu lepas.

Loading...
Published
Categorized as Utama

1 comment

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *