Portal berita terbaik anda

Utama

Mangsa banjir di Terengganu naik mendadak

KUALA TERENGGANU – Dua lagi daerah di Terengganu iaitu Kemaman dan Hulu Terengganu adalah daerah terbaharu dilanda banjir menjadikan jumlah mangsa terus bertambah kepada 669 orang keseluruhannya pada 1 tengah hari berbanding hanya 48 orang di Setiu pagi tadi.

Ketika ini, 14 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di tiga daerah berkenaan iaitu 10 di Hulu Terengganu dan masing-masing dua di Kemaman dan Setiu.

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Hulu Terengganu merekodkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu 411 orang diikuti Kemaman (224 orang) dan Setiu (34 orang).

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula melaporkan paras air sungai di beberapa daerah juga masih melepasi paras bahaya dan sebahagiannya melebihi paras amaran.

Empat sungai di Terengganu yang telah melepasi paras bahaya ialah Sungai Besut di Jambatan Keruak yang merekodkan bacaan 36.75 meter (m) berbanding paras bahaya 35m; Sungai Nerus di Kampung Langkap (21.35m berbanding paras bahaya 21m), Sungai Berang di Kampung Menerong (24.58m mengatasi paras bahaya 24.50m) dan Sungai Telemong di Kuala Ping (21.06m mengatasi paras bahaya 19.70m).

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu, Shafruddin Ali Hussin berkata, penyerahan keputusan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) berjalan lancar di seluruh negeri ini walaupun ada laluan ke sekolah yang dinaiki air pagi tadi.

“Beberapa guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Jenderis di Hulu Terengganu terpaksa menaiki lori dan bot amfibia yang disediakan polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk menuju ke sekolah tersebut bagi menghadiri majlis penyerahan itu.

“Mereka tidak boleh pergi ke sekolah setelah laluan tersebut ditutup kepada semua jenis kenderaan. Jabatan berterima kasih kepada agensi penyelamat yang telah membantu perjalanan guru-guru tersebut ke sekolah dengan lancar,” katanya. – Bernama

Loading...

Leave a Reply