Manaf Mamat bakal bersara musim depan?

0
312

KUALA TERENGGANU: Bekas penyerang skuad Piala AFF 2014 kebangsaan, Manaf Mamat kini dalam pertimbangan untuk menggantung but musim depan selepas belum lagi ‘dirisik’ mana-mana pasukan dalam kancah Liga Malaysia (Liga M).

Pemain berusia 31 tahun kelahiran Kuala Terengganu itu berkata, walaupun dia sudah membuat permohonan dengan beberapa pasukan, namun setakat ini belum ada sebarang jawapan.

“Ini yang meresahkan saya kerana sesetengah pasukan difahamkan sudah memulakan latihan awal sebagai persiapan menjelang saingan musim depan.

“Saya pula masih ternanti-nanti dan mencari pasukan yang mahukan khidmat saya musim depan, tapi saya tidak akan putus asa sebaliknya akan berusaha lebih gigih lagi mencari pasukan sebelum jendela pendaftaran pemain ditutup.

“Jika tiada rezeki musim ini saya pasrah dan terpaksa bersara awal dalam sukan yang saya cintai ini,” ujar Manaf yang menyarung jersi pasukan MOF FC pada pertengahan liga selepas pasukan terdahulunya, Marcerra Kuantan FA dibubarkan kerana masalah kewangan.

Sebelum ini, pemain yang pernah beraksi bersama skuad Terengganu, Kelantan dan Kuala Lumpur itu dikatakan bakal menyarung jersi skuad negeri kelahirannya bergandingan semula dengan Mohd Ashari Samsuddin di posisi penyerang.

Bagaimanapun, selepas senarai nama pemain diumumkan Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) bulan lalu, pemain itu tidak berada dalam skuad itu.

“Jika diberi pilihan saya mahu berkhidmat di Terengganu sama ada pasukan Terengganu FC ataupun Terengganu FC II, tapi jika dapat peluang bersama pasukan lain saya akan pergi,” katanya.

Sumber: berita harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here