Cempedak Cheese

Portal berita terbaik anda

Sukan

Malaysia tewas tipis di tangan UAE

KUALA LUMPUR: Penyerang Ali Ahmed Mabkhout memusnahkan impian skuad Harimau Malaya selepas dua jaringannya membantu pasukan Emiriah Arab Bersatu (UAE) mencipta kemenangan 2-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini, sebentar tadi.

Keputusan itu sekali gus menyaksikan anak buah Tan Cheng Hoe kekal dengan tiga mata dan menduduki tangga ketiga Kumpulan G selepas mengharungi dua perlawanan dalam kempen kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Thailand kini mendahului Kumpulan G selepas menghimpun empat mata susulan kejayaan membenam Indonesia, 3-0 pada aksi di Gelora Bung Karno, Jakarta, sebentar tadi. Pada aksi pertama di Bangkok minggu lalu, Thailand terikat 0-0 dengan Vietnam. UAE pula menghuni tangga kedua dengan tiga mata.

Pada aksi di laman sendiri itu, skuad Harimau Malaya yang berada jauh dibelakang UAE dalam ranking dunia Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bermula positif selepas berada di depan seawal minit pertama hasil jaringan Syafiq Ahmad yang menanduk masuk bola hantaran Matthew Davies.

Kelebihan itu bagaimanapun dipadam Ali yang menyudahkan hantaran Mohamed Saleh Almenhali, dua minit sebelum tamat babak pertama untuk menyamakan kedudukan buat UAE.

Ali terus membuktikan ketajamannya apabila meledak gol kedua UAE pada minit ke-75 selepas dia terlepas dari kawalan pertahanan Harimau Malaya, Shahrul Saad dan Adam Nor Azlin.

Empat minit kemudian, Harimau Malaya hampir menyamakan kedudukan, namun rembatan Safawi Rasid sekadar menggegar tiang gol UAE dan kedudukan 2-1 kekal hingga wisel penamat.

Selepas ini, Harimau Malaya akan menentang Vietnam di gelanggang lawan pada 10 Oktober sebelum melayan kunjungan negara jiran, Thailand di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 14 November.

Leave a Reply

Theme by Anders Norén