Portal berita terbaik anda

Utama

Malaysia perlu tiga tahun pulihkan kedudukan fiskal – Guan Eng

Susulan skandal rasuah 1MDB, hutang RM1 trilion dan kegagalan dasar kerajaan sebelum ini, Malaysia memerlukan sekurang-kurangnya tiga tahun untuk memulihkan situasi kewangan, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Dalam ucapan tahun baru sebagai setiausaha agung DAP, Lim berkata kerajaan Pakatan Harapan (PH) di bawah teraju Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad telah mengecap beberapa kejayaan.

Kejayaan itu, kata Lim, termasuklah penjimatan tambahan sebanyak RM1.6 bilion, pendakwaan berhubung skandal 1MDB, memburu pemulangan wang yang dicuri, penukaran GST kepada SST dan bayaran balik GST RM19.4 bilion yang akan dipulangkan kepada pembayar cukai pada 2019.

“Walaupun korupsi yang berakar dan penyalahgunaan kuasa antara sebab-sebab untuk kejayaan besar gabungan pembangkang PH pada 9 Mei 2018, sebab utamanya masih kesusahan ekonomi yang dialami rakyat akibat kegagalan polisi, kapitalisme kroni, dan sudah tentunya skandal-skandal kewangan 1MDB yang cukup terkenal.

“[…] Malaysia perlukan 3 tahun untuk pulihkan kesihatan kewangan kita dan mengambil tempat sebagai ekonomi baru muncul yang mempunyai harapan untuk mencapai status pendapatan tinggi,” kata Lim

Sejak mengambil alih kerajaan, PH dilihat berdepan pelbagai tekanan untuk memulihkan ekonomi, terutamanya kerana berkempen menggunakan isu kos hidup dan ekonomi dan salah tadbir.

PH juga kini dikritik kerana didakwa menangguhkan pelbagai janji dalam manifesto pilihan raya mereka.

Anggota parlimen Bagan itu hari ini bagaimanapun menyorot bahawa ekonomi negara sedang pulih, dengan menyatakan bahawa Bloomberg telah meletakkan Malaysia di tempat pertama di kalangan 20 ekonomi baru muncul terbaik di dunia dan berjaya mengekalkan kedudukan dari penarafan kredit antarabangsa.

“Undi percaya ini dibuktikan dengan peningkatan mendadak di dalam eksport pada Oktober 2018 kepada taraf tertinggi di dalam satu bulan sebanyak RM96.4 Bilion dan lebihan dagangan sebanyak RM16.3 bilion yang mencatatkan rekod.

“Pelaburan Langsung Asing (FDI) yang telah diluluskan di dalam sektor pembuatan meningkat dari Mei ke September 2018 sebanyak RM27.7 bilion atau 379% dari RM7.3 bilion tahun 2017 kepada RM35 bilion tahun 2018,” katanya.

Loading...

Leave a Reply