Portal berita terbaik anda

Utama

Malaysia merdeka dari cengkaman rasuah – Shafie Apdal

KOTA KINABALU: Sambutan Hari Malaysia tahun ini penuh bermakna apabila rakyat Malaysia berjaya mencapai kemerdekaan daripada cengkaman rasuah dan mempunyai harapan baharu untuk masa hadapan yang lebih cerah.

Sehubungan itu Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, meminta rakyat terus bersama pimpinan kerajaan baharu sama ada peringkat Persekutuan atau negeri, untuk membawa sinar perubahan dan menerangi masa depan tanpa mengira kaum atau agama.

“Apabila kita mencapai pemerintahan sendiri, kita bebas untuk membuat keputusan sendiri, bebas membina negara mengikut acuan sendiri dan bebas memilih kerajaan baru secara aman.

“Segelintir pihak terus mempertikaikan tarikh sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia walaupun kita sedia maklum bahawa wujudnya negara Malaysia pada 16 September, 1963.

“Janganlah kita terlalu terpengaruh dengan perasaan kerana yang penting adalah menyelami makna kemerdekaan dan menterjemahkannya kepada tindakan.

“Justeru, pada detik keramat ini, saya ingin mengajak rakyat Malaysia khususnya di Sabah supaya terus komited kepada semangat kemerdekaan itu sendiri, untuk membina sebuah kerajaan yang kukuh, makmur dan bersatu padu,” katanya dalam perutusan khas sempena sambutan Hari Malaysia 2018, di sini hari ini.

Dalam konteks Sabah, Mohd Shafie berkata sambutan itu mempunyai dan makna tersendiri bagi negeri terbabit dan juga Sarawak, sejak pembentukan Malaysia.

Beliau turut mengulangi komitmen kerajaan negeri untuk memperkasakan hubungan antara kerajaan negeri dan Pusat, di mana kerajaan Sabah akan terus berunding dan berbincang dengan Kerajaan Persekutuan untuk memperhebatkan lagi agenda pembangunan negeri itu.

“Selain itu, kita juga mahu pastikan segala hak dan kepentingan menerusi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) terus dijunjung bersama. Di Sabah, komitmen kerajaan baharu adalah untuk melonjakkan pembangunan dan ekonomi negeri, dengan tumpuan mengukuhkan kedudukan kewangan menerusi perancangan dan pengurusan fiskal.

“Sejak kerajaan baru ini mengambil alih pemerintahan negeri, sudah banyak pelabur menunjukkan minat dalam sektor strategik di negeri ini. Kita juga akan mengemaskini jentera dan pentadbiran jabatan serta agensi kerajaan negeri secara berperingkat bagi memperbaiki sistem penyampaian selain mengurangkan kerenah birokrasi,” katanya.

Mohd Shafie turut mengajak rakyat mengekalkan perpaduan dalam kepelbagaian demi kestabilan politik dan kemakmuran.

“Jangan jadikan perbezaan sebagai penghalang untuk kemajuan, sebaliknya raikan perbezaan untuk mencari titik persamaan. Kepelbagaian agama, budaya dan tradisi sebenarnya adalah aset bernilai tinggi dan sumber kekayaan nilai sebuah negara bangsa yang merdeka.

“Selamat Hari Malaysia kepada seluruh rakyat negara ini,” katanya.

Loading...

Leave a Reply