Malaysia akan terima akibat, kata konsulat Korea Utara

KUALA LUMPUR – Konsulat Kedutaan Korea Utara, Kim Yu Song memberi peringatan keras terhadap Malaysia berhubung tindakan kerajaan dalam isu melibatkan rakyat warganegara republik itu.

Dalam kenyataannya kepada media sebelum keluar meninggalkan kedutaan pada Ahad, Yu Song berkata, Malaysia akan menerima akibat daripada tindakan yang dilakukannya.

Menurutnya, insiden tersebut telah menjejaskan kedaulatan negaranya.

“Kejadian ini adalah hasil nyata daripada konspirasi anti Korea Utara yang dibuat dari dasar keji oleh Amerika Syarikat (AS).

“Kami tidak berpuas hati dengan tindakan meletakkan warganegara kami yang tidak bersalah dan secara membuta tuli berpihak kepada musuh utama negara kami.

“Pihak berkuasa Malaysia akan memikul sepenuhnya tanggungjawab terhadap kesan yang bakal dihadapi akibat daripada tindakannya susulan ketegangan diplomatik antara kedua-dua negara,” katanya.

Yu Song berkata, tindakan terbaharu Malaysia yang mengekstradisi seorang warga Korea Utara itu telah menghancurkan seluruh asas hubungan dua hala antara Malaysia dan Korea Utara yang dibina atas dasar kedaulatan.

Pada Jumaat, Malaysia memberi tempoh 48 jam kepada pegawai dan kakitangan Kedutaan Korea Utara untuk meninggalkan negara.

Keputusan tersebut diambil selepas Korea Utara bertindak memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia kerana tidak berpuas hati terhadap tindakan kerajaan Malaysia mengekstradisi seorang warganegaranya ke AS.

Kenyataan dari Wisma Putra berkata, Malaysia berhak untuk bertindak balas terhadap keputusan Korea Utara demi melindungi kedaulatan dan menjaga kepentingan negara.

Sebagai sebuah negara yang menjunjung prinsip keadilan, Kementerian Luar berkata, proses ekstradisi rakyat Korea Utara yang dikenali sebagai Mun Chol Myong itu dilakukan adalah berlandaskan undang-undang.

Kementerian Luar Korea utara dalam satu kenyataan mengenai keputusannya itu pada Jumaat berkata, Malaysia didakwa melakukan ‘jenayah yang tidak boleh dimaafkan’ kerana menghantar rakyatnya yang tidak bersalah ke negara yang merupakan musuh ketat republik itu.

Pada 3 Mac lalu, Chol Myong gagal dalam rayuannya di mahkamah Malaysia untuk mengelak diekstradisi ke AS atas dakwaan melakukan pengubahan wang haram.

Sementara itu, pada Ahad, pegawai dan kakitangan Kedutaan Korea Utara telah mengosongkan bangunan kedutaan itu di sini sekitar jam 10.55 pagi.

Kesemua pekerja kedutaan dan juga ahli keluarga mereka yang dianggarkan seramai 30 orang itu telah keluar dari pekarangan bangunan bersama dengan menaiki sebuah bas, manakala Yu Song dilihat menaiki sebuah kenderaan berwarna putih.

Difahamkan, kumpulan tersebut akan menggunakan penerbangan transit Shanghai Airlines ke Pudong, China sebelum ke ibu negara Korea Utara, Pyongyang.

Mereka menaiki penerbangan FM0086 dijangka berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada petang ini.

Pada Sabtu, mereka yang akan pulang ke Korea Utara dipercayai telahpun melakukan ujian saringan Covid-19 dengan pasukan perubatan hospital swasta yang datang ke kedutaan tersebut.

Loading...

Leave a Reply