Portal berita terbaik anda

Utama

Majikan swasta kritik bantuan khas Aidilfitri kepada penjawat awam

PETALING JAYA – Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) mengkritik keputusan kerajaan memberikan bantuan khas Aidilfitri kepada penjawat awam, mengatakan pekerja sektor swasta yang terjejas akibat krisis Covid-19 berhak mendapat lebih banyak bantuan.

MEF berkata mereka yang berada di sektor swasta mengalami pemotongan gaji, pengurangan elaun atau terpaksa mengambil cuti tanpa gaji semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Bayaran bantuan khas seperti itu tidak boleh dilakukan kerana kakitangan kerajaan secara harfiahnya tidak “menderita” apa-apa kerana gaji dan elaun mereka tetap kekal semasa PKP dan PKP bersyarat,” kata Pengarah Eksekutif MEF, Shamsuddin Bardan kepada FMT.

Beliau berkata peniaga kecil dan mereka yang bekerja sendiri kehilangan sumber pendapatan ketika PKP.

Bantuan khas itu dibuat kepada penjawat awam termasuk pegawai tetap, sementara dan lantikan kontrak serta mereka yang bergaji penuh, gaji separuh dan cuti tanpa gaji.

Sebelum ini, bos rantaian pasar raya besar, Ameer Ali Mydin meminta penjawat awam berkongsi beban ekonomi dari segi kesan kewangan akibat wabak tersebut.

Ameer, pengarah urusan Mydin berkata gaji kakitangan awam juga patut dikurangkan supaya penjimatan itu dapat digunakan untuk membantu golongan miskin yang paling terkesan dengan pelaksanaan PKP.

“Mereka yang berpendapatan RM3,000 ke atas patut menerima potongan gaji,” kata Ameer kepada FMT dalam kenyataan yang menimbulkan kemarahan dalam kalangan penjawat awam di media sosial.

Bantuan Khas Aidilfitri RM500 untuk penjawat awam

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memberikan bantuan khas Aidilfitri kepada pegawai perkhidmatan awam Persekutuan gred 56 ke bawah dan pesara kerajaan pada 20 Mei ini.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Mohd Khairul Adib Abd Rahman, berkata pegawai perkhidmatan awam akan menerima sebanyak RM500 dan pesara kerajaan sebanyak RM250.

Katanya, bantuan khas Aidilfitri ini juga akan dipanjangkan kepada guru interim, pemandu yang dilantik sendiri oleh pegawai yang tidak disediakan pemandu oleh jabatannya.

“Pegawai yang tidak layak menerima bantuan adalah pegawai dalam pengurusan tertinggi dan setaraf, pegawai yang dijatuh hukuman tatatertib, pegawai yang ditamatkan perkhidmatan dan pegawai yang meletak jawatan dalam tempoh 1 Januari hingga 20 Mei.

“Pegawai yang ditahan kerja, digantung kerja atau surat pertuduhan turut ditangguhkan bantuan dan hanya layak diberi sekiranya pegawai terbabit tidak bersalah.

“Dalam pada itu, pekerja sambilan harian juga akan menerima bantuan RM500 dengan syarat tempoh kontraknya berkuatkuasa sekurang-kurangnya 30 hari berturut-turut,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pesara kerajaan yang memilih skim pencen dan penerima pencen terbitan akan dibayar RM250 manakala pesara yang dilantik semula secara kontrak akan menerima RM500.

“Bagi pegawai perkhidmatan awam yang meninggal dunia pada 20 Mei juga layak menerima RM500 yang akan dibayar oleh jabatan terakhir dia berkhidmat,” katanya.

Loading...

Leave a Reply