Mahkamah batalkan keputusan PRU14 Parlimen Cameron Highlands

0
445

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini memutuskan kemenangan Datuk C. Sivarraajh bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) adalah terbatal dan tidak sah akibat rasuah.

Oleh itu, Hakim Datuk Azizah Nawawi memerintahkan agar pilihan raya kecil diadakan bagi kerusi parlimen itu.

Timbalan Pengerusi DAP Pahang, M. Manogaran, 59, memfailkan petisyen pada 4 Jun lalu dengan memohon perisytiharan bahawa keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei untuk kerusi Parlimen Cameron Highlands terbatal kerana melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Ini berikutan Manogaran mendakwa, Sivarraajh merasuah pengundi daripada komuniti Orang Asli untuk mengundinya.

Manogaran mendakwa, Sivarraajh yang berkempen bersama-sama Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang kini Menteri Besar Pahang, memberi rasuah antara RM30 dan RM1,000 kepada pengundi Orang Asli melalui beberapa Tok Batin bagi memastikan mereka mengundi calon Barisan Nasional (BN) membabitkan pertandingan lima penjuru.

Dakwa Manogaran lagi, Wan Rosdy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai bagi tiga penggal berturut-turut sejak PRU-11, amat terkenal dalam kalangan pengundi di kawasan itu dan bertanggungjawab memperkenalkan Sivarraajh kepada pengundi Orang Asli. – UTUSAN ONLINE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here