Portal berita terbaik anda

Politik

Mahathir tak reti buat apa, hanya tahu habiskan masa ke luar negara – Johari Abdul

ALOR SETAR – Kegagalan memahami konsep Malaysia baharu menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan kini seolah-olah mengulangi kesilapan kerajaan terdahulu yang sekali gus menyebabkan rakyat kecewa.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR negeri, Datuk Johari Abdul berkata, selepas Datuk Seri Najib Tun Razak jatuh, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad seperti tidak tahu berbuat apa-apa dan hanya menghabiskan masa ke luar negara.

Johari turut menggesa Dr. Mahathir agar berhenti bermain isu Najib sebagai pencuri sedangkan bekas Perdana Menteri itu sudah dihadapkan ke mahkamah dan biarlah pihak berkuasa menentukannya.

“Dr. Mahathir hanya mengulangi ucapan yang sama bahawa Najib mencuri. Cukuplah, dia pun sudah ke mahkamah, biar mahkamah yang tentukan.

“Cakaplah sesuatu yang lebih positif, tetapi (malangnya) tiada. Rakyat tertanya-tanya apa seterusnya. Rakyat pastinya mahu sesuatu yang progresif tetapi tidak nampak hala tuju yang jelas,” katanya, di sini hari ini.

Datuk Johari Abdul

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang menegaskan parti itu tidak teragak-agak untuk meninggalkan gabungan Pakatan Harapan yang membentuk kerajaan pada hari ini sekiranya objektif Malaysia baharu yang dilaungkan mereka dipinggirkan.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu dilaporkan berkata, komitmen itu yang membezakan parti tersebut dengan MCA yang disifatkan beliau sebagai ‘lembik’ semasa berada dalam kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu.

Tambah Johari, beliau juga tidak pasti sama ada Perdana Menteri terlupa, tidak peduli atau tiada siapa yang menasihatkannya mengenai perkembangan semasa hari ini.

“Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak boleh masuk campur sebab dia orang luar. Kak Wan (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) pula ada batasnya.

“Dalam hal ini Perdana Menteri kena buat keputusan. Lakukan sesuatu untuk tidak lagi mengecewakan rakyat,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Loading...

Leave a Reply