Cempedak Cheese

Portal berita terbaik anda

Politik

Mahathir pelawa semua parti Melayu sertai PPBM

Dr Mahathir Mohamad mempelawa semua parti politik Melayu termasuk Umno untuk menyertai Bersatu dalam usaha menyatupadu serta memperkasakan kuasa politik orang Melayu.

Pengerusi Bersatu itu berkata kewujudan semakin banyak parti politik Melayu menyebabkan potensi untuk mereka menang dalam pilihan raya semakin tipis.

“Kalau dahulu, cuma ada satu sahaja parti yang mewakili orang Melayu iaitu Umno tetapi kerana tamak untuk mendapatkan tempat, maka hari ini orang Melayu berpecah kepada enam (parti).

“Enam, bukan lagi majoriti 60 peratus tetapi setiap parti 10 peratus sahaja,” katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Bersatu Johor di Dewan Serbaguna Johor Jaya, di Johor Bahru.

Perdana menteri juga turut mengingatkan barisan kepimpinan parti supaya menjadikan episod kekalahan Umno di Johor yang digelar sebagai kubu kuat parti berkenaan sebagai satu pengajaran.

“Yang jelas ialah walau kuat bagaimana sekalipun parti itu kalau ia sudah menyeleweng, ia akan jadi lemah. Inilah pengajaran yang kita dapat dari peristiwa dari Johor ini pada PRU ke-14,” katanya.

Ketika ditanya pemberita selepas ucapan itu sama ada pelawaan beliau akan mendapat tentangan daripada parti komponen Pakatan Harapan (PH), Dr Mahathir berkata: ”Itu masalah dia. Kita tiada kaitan dengan parti-parti lain. Walaupun dalam PH, mereka pun dapat ahli baru juga.”

Selain itu, beliau turut mengingatkan supaya semua ahli parti setia kepada parti dan perjuangannya dan tidak taksub kepada pemimpin tertentu.

Ketibaan Dr Mahathir pada majlis itu jam 5.05 petang tadi disambut oleh Timbalan Presiden Bersatu Mukhriz Mahathir dan Pengerusi Bersatu Johor Mazlan Bujang.

Selain dijamu dengan pelbagai juadah Hari Raya, Dr Mahathir turut dipersembahkan dengan tarian zapin daripada Kumpulan Gemalai Tari Majidi dan Kumpulan Kesenian Johor Bahru serra nyanyian daripada artis, Ayai Ilusi.

-Bernama

Leave a Reply

Theme by Anders Norén