Portal berita terbaik anda

Utama

Mahathir dakwa PN pernah cuba gantikan Noor Hisham

Dr Mahathir Mohamad mendakwa ada usaha dibuat untuk menggantikan Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, dengan seorang ahli politik.

Bercakap kepada media di Putrajaya hari ini, bekas perdana menteri itu berkata tindak balas kerajaan terhadap ancaman wabak Covid-19 sekarang berkesan kerana usaha itu diterajui seorang profesional.

“Kerajaan melakukan tugasnya dengan baik tetapi ia berlaku. kerana itu orang politik tak boleh mengambil alih tugas profesional.

“Tugas itu dilakukan oleh orang profesional, seorang doktor dan dia menjalankan tugas dengan baik.

“Pada satu ketika ada cubaan menggantikan beliau (Noor Hisham) dengan seorang ahli politik dan meletakkan orang politik di situ kerana ia adalah langkah publisiti yang baik untuk orang politik itu,” katanya.

Bagaimanapun kata Mahathir usaha itu tidak berjaya kerana berlaku bantahan terhadap usaha berkenaan.

“Jadi pegawai terbabit masih ada di situ,” katanya.

Mahathir tidak menamakan sesiapa dalam kenyataan tersebut. Tidak dapat dipastikan juga sama ada kenyataan beliau itu merujuk kepada cubaan menggantikan Noor Hisham sebagai ketua pengarah kesihatan atau pihak yang bertanggungjawab memberikan respon kepada ancaman Covid-19.

Untuk rekod jawatan ketua pengarah kesihatan adalah posisi yang dikhususkan untuk kakitangan awam.

Terdahulu Mahathir mengulas mengenai tindakan kerajaan Perikatan Nasional menggantikan pegawai profesional di syarikat berkaitan kerajaan atau agensi kerajaan dengan ahli politik.

Ia dilakukan sejurus selepas Muhyiddin Yassin menubuhkan kerajaan PN dengan kerjasama BN dan PAS dan mendapat kerjasama Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Noor Hisham menjadi peneraju gerakan memerangi Covid-19 sejak sebelum PN wujud. Semasa kerajaan Pakatan Harapan, jawatan menteri kesihatan disandang Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad.

Muhyiddin melantik Ahli Parlimen Tenggara, Dr Adham Baba sebagai menteri kesihatan.

Semasa peringkat awal, taklimat mengenai perkembangan terkini Covid-19 di negara ini disampaikan Adham tetapi kemudian ia dilakukan oleh Noor Hisham.

Loading...

Leave a Reply