Luahan hati kakak sulung Zara buat netizen sebak

0
3425

KUALA LUMPUR – Masyarakat hari ini dikejutkan dengan berita kematian seorang bayi perempuan akibat didera fizikal dan seksual, satu perbuatan sadis yang tidak dapat diterima dek akal manusia waras.

Kejadian sedemikian jelas mengundang rasa marah dan empati masyarakat yang mengutuk perilaku di luar kemanusiaan itu, namun bagi ibu yang mengandung dan melahirkan bayi tidak berdosa ini, kejadian berkenaan menjadi satu igauan ngeri yang menghantui kehidupannya.

“Selagi kes Zara tidak selesai, selagi pelaku tidak dihukum, saya takkan berasa tenang,” kata ibu kepada Nur Muazara Ulfa Mohammad Zainal, bayi berusia 11 bulan yang meninggal dunia pada Jumaat selepas dua hari berada dalam keadaan kritikal di Hospital Serdang.

Bayi yang dilahirkan pada 10 Disember 2017 itu dipercayai didera secara fizikal dan seksual oleh suami kepada pengasuhnya sendiri.

Noraihan Ab Aziz, 22, yang bertugas sebagai operator kilang di bandar Baru Bangi berkata beliau tidak pernah menjangka tragedi hitam seumpama itu akan menimpa keluarganya dan meninggalkan kesan yang amat pedih dalam kehidupan mereka.

“Hati saya sakit sangat, apabila melihat keadaan Zara yang menyayat hati, saya serahkan kepada pihak polis untuk melakukan penyiasatan dan mengenakan hukuman setimpal pada pesalah,” katanya, yang kedengaran begitu hiba ketika dihubungi Bernama.

Bayi malang itu dikebumikan di kampung halaman ibu bapanya di Rantau Panjang, Kelantan.

Noraihan dan suaminya Muhammad Zainal, 27, serta anak sulung mereka, Muhamad Alif Zamani, 4, kini berada di kampung halaman mereka di Rantau Panjang, Kelantan untuk urusan pengebumian puteri kecil mereka pagi semalam.

Biarpun pasrah dan reda dengan insiden yang menimpa anak keduanya itu, Noraihan berkata pada awalnya amat sukar baginya untuk menerima kenyataan kematian anak sebegitu rupa.

Kesedihan Noraihan sukar dibendung dan seakan mahu masyarakat mengambil iktibar kejadian itu dan berkongsi episod duka di laman Facebook miliknya.

Noraihan memuat naik status: “Damailah kau di sana sayang… Tunggu ibu di syurga… Ibu halalkan susu yg mengalir di dalam badan anak ibu.. anak syurga ibu #nurmuazaraulfa.”

Beliau turut berkongsi gambar bersama arwah, detik arwah sedang menerima rawatan dan ketika urusan pengebumian bayi malang itu diturunkan ke liang lahad.

Ketika bercerita kisah dukanya, Noraihan berkata anak sulungnya seakan memahami kejadian yang menimpa adiknya apabila mengungkapkan kata-kata, “kalau adik sudah berada dalam kubur, adik dah tak sakit, adik dah tak payah duduk di hospital, kan ibu”.

Mengimbas detik kejadian, Noraihan berkata beliau dihubungi pihak Hospital Serdang pada petang Rabu, memaklumkan bayinya dalam keadaan kritikal selepas dibawa sendiri pengasuh dan suami pengasuh.

“Pengasuh bertindak menghubungi saya sebanyak lima kali tetapi ketika itu telefon tiada liputan.
Sejurus sampai di hospital, saya mendapati pengasuh dalam keadaan serba salah, tetapi suaminya tenang seolah-olah tiada apa yang berlaku, katanya.

Noraihan berkata beliau mengenali pengasuh bayinya sejak dua bulan lalu ketika memuat naik status di Facebook untuk mencari pengasuh, dan pengasuh berkenaan bertindak menghubungi beliau.

“Saya pergi berjumpa dengannya, dan daripada tutur katanya, saya lihat tiada perkara yang meragukan. Namun, ketika berjumpa dengan pengasih, suami dan anak lelaki mereka berusia satu tahun lapan bulan tiada di rumah,” katanya.

Sedar tiada apa yang dapat mengembalikan puterinya, Noraihan berharap kisah anaknya itu menjadi teladan dan pengajaran buat ibu bapa agar lebih berhati-hati memilih tempat asuhan anak. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here